Jangan ambil mudah peningkatan kes Covid-19: Sultan Johor

SULTAN IBRAHIM
SULTAN IBRAHIM
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sultan Johor mengingatkan seluruh rakyat agar tidak mengambil mudah peningkatan kes koronavirus (Covid-19) di seluruh negara sejak kebelakangan ini.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mahu semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan wabak berkenaan.

"Jangan mengambil mudah peningkatan kes-kes baharu Covid-19 di seluruh negara. Patuhi amalan SOP bagi mencegah penularan wabak ini.

"Sekiranya orang ramai masih ingkar untuk mematuhi amalan SOP yang telah ditetapkan kerajaan sebelum ini, maka penularan wabak berkenaan tidak dapat dibendung.

"Walaupun pasukan barisan hadapan bertungkus-lumus menjalankan tanggungjawab mereka, namun kita juga perlu berganding bahu untuk memutuskan rantaian jangkitan ini," titah baginda kepada Royal Press Office (RPO) di sini hari ini.

Sultan Johor berharap orang ramai tidak leka atau memandang ringan akan penularan wabak berkenaan dan seharusnya bersama-sama mematuhi SOP.

Baginda bertitah, kegagalan mematuhi SOP akan menyebabkan berlakunya peningkatan kes secara mendadak.

"Kita perlu ingat jika PKP dilaksanakan semula, sudah tentunya ia akan memberi pelbagai implikasi kepada kehidupan rakyat dan ekonomi negara.

Artikel Berkaitan:

"Saya pasti rakyat tidak mahu keadaan ini berlaku, oleh demikian jangan pandang ringan perkara ini sebaliknya sentiasa patuh pada SOP," titah baginda lagi.

Sehingga semalam, Johor telah mencatatkan 41 kes positif Covid-19 yang antaranya membabitkan Kluster Bakawali berpunca daripada pasangan suami isteri pulang dari Sabah pada 18 September lalu.

Selain itu Johor Bahru mencatatkan empat kawasan zon kuning iaitu lokasi Bandar, Plentong, Pulai dan Tebrau.

Kelmarin, Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyanathan memaklumkan kes Covid-19 di negeri ini dijangka terus bertambah dalam masa terdekat menerusi kemasukan kes import dan aktiviti pengesanan yang dipertingkatkan.