15 Taska Permata YPKT ditutup seminggu

Hanafiah Mat
Hanafiah Mat
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu mengambil langkah menutup 15 Taska Permata di bawah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) selama seminggu bermula hari ini.

Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat berkata, langkah drastik itu bagi membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19).

"Penutupan ini melibatkan taska di daerah Besut, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun.

"Kita ambil langkah segera menutup sementara kerana terdapat kes yang melibatkan kontak rapat di taska, selain penularan wabak di peringkat lokal.

"Penutupan ini berkuatkuasa bermula 7 hingga 13 Oktober depan bagi membolehkan kerja-kerja sanitasi dilakukan sepanjang tempoh tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Penularan wabak Covid-19 di Terengganu meningkat sejak awal bulan ini menyebabkan beberapa sekolah, institusi pendidikan dan agama serta agensi kerajaan mengambil langkah segera dengan menutup sementara operasi untuk proses sanitasi.

Langkah itu adalah sebahagian daripada usaha membendung penularan wabak Covid-19.

Sebelum ini, tiga buah sekolah di daerah Kuala Nerus ditutup sementara, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Kemunting, SK Kompleks Seberang Takir dan SMK Kompleks Seberang Takir.

Artikel Berkaitan:

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) juga ditutup sementara bermula 5 Oktober sehingga esok untuk proses disinfeksi secara menyeluruh di semua kampusnya merangkumi Kampus Gong Badak, Kampus Perubatan dan Kampus Besut.

Ia susulan seorang daripada stafnya disahkan positif koronavirus (Covid-19).

Manakala semalam, bangunan pentadbiran kerajaan negeri iaitu Wisma Darul Iman, Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) dan Masjid Ulul Albab di Jerteh, Besut juga ditutup selama tiga hari bagi proses disinfeksi di seluruh bangunan.