Pengarah urusan direman kemuka dokumen palsu bantuan subsidi upah

A
A
A

ALOR SETAR - Seorang pengarah urusan di sebuah syarikat direman empat hari bermula hari ini di Mahkamah Sesyen Alor Setar di sini atas dakwaan mengemukakan penyata akaun palsu bagi mendapatkan bantuan subsidi upah pekerja daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Penyata akaun palsu tersebut dikatakan telah dikemukakan pada Mac lalu oleh lelaki itu yang berjumlah lebih RM400,000 sebulan.

Hasil pemalsuan tersebut, syarikat yang menjalankan pelbagai jenis perniagaan termasuk kebersihan didakwa memperoleh bantuan upah pekerja sedangkan tidak layak mendapat subsidi disebabkan tidak mengalami kekurangan pendapatan kesan pandemik koronavirus (Covid-19).

Individu berusia 33 tahun itu ditahan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah sekitar jam 5.30 petang semalam.

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Penolong Pendaftar Mahkamah Sesyen Alor Setar, Wan Nor Fadzilah Wan Ibrahim membenarkan lelaki itu direman selama empat hari bermula hari ini.

Artikel Berkaitan: