Polis belum terima laporan MB Selangor langgar kuarantin

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Polis belum menerima laporan berhubung tindakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari melanggar kuarantin kerana terpaksa keluar bertugas bagi menyelesaikan isu pencemaran yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat negeri ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, setakat ini belum ada laporan berhubung isu itu, namun pihaknya akan mengkaji perkara berkenaan.

"Kita menyedari perkara itu, beliau (Amirudin) telah meminta maaf melalui media sosial atas tindakannya itu," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Pengukuhan Siasatan Jenayah Komersial, Pelancaran Portal dan Aplikasi Semak Mule di Maktab Polis Diraja Malaysia di sini hari ini.

Acryl berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa sahaja yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) untuk mengekang penularan Covid-19.

"Kita akan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa sahaja sejajar dengan kenyataan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Kita berada di fasa kritikal berikutan peningkatan kes Covid-19 baru-baru ini," katanya.

Difahamkan, Amirudin bertindak demikian bagi menyelesaikan isu gangguan bekalan air membabitkan daerah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang susulan pencemaran air mentah di Sungai Semenyih.

Pada 29 September lalu, Pejabat Menteri Besar Selangor memaklumkan Amirudin disahkan bebas pandemik koronavirus (Covid-19) setelah menjalani kuarantin di rumah bagi mematuhi arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebaik kepulangan beliau dari program di Sabah.

Artikel Berkaitan:

Keputusan tersebut hasil daripada ujian RT-PCR (Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction) yang dijalankan sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 28 September lalu.