Tukang masak ditemui maut dalam kereta

Lelaki berusia 52 tahun itu ditemui terbaring dalam kereta.
Lelaki berusia 52 tahun itu ditemui terbaring dalam kereta.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang tukang masak ditemui maut dalam kereta yang diparkir di hadapan rumahnya di Taman Sungai Lalang, Bedong petang semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, hasil siasatan mendapati mangsa berusia 52 tahun itu dikatakan mahu berehat sebentar dan tertidur di dalam kereta sebelum ditemui meninggal dunia kira-kira jam 4 petang.

Menurutnya, mangsa yang sedang tidur di dalam kereta itu telah disedari anaknya dan cuba dikejutkan pada jam 7.30 pagi sebelum anaknya itu keluar bekerja.

Beliau berkata, ketika itu mangsa dilaporkan masih hidup.

"Bagaimanapun, beberapa jam selepas itu, jiran terlihat mangsa masih berada dalam kereta disyaki meninggal dunia sebelum menghubungi pihak polis.

"Siasatan ke lokasi kejadian mendapati mangsa ditemui dalam keadaan terbaring mengiring ke kanan di tempat duduk penumpang hadapan dengan keadaan enjin telah dimatikan," katanya menerusi satu kenyataan.

Menurutnya, pasukan perubatan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

"Temubual bersama anak mangsa memaklumkan, sebelum kejadian, bapanya telah keluar pada jam 10.30 malam untuk minum bersama kawan.

Artikel Berkaitan:

"Akibat mabuk, kawannya telah hantar mangsa balik, namun dia tidur di dalam kereta yang diletakkan di luar pagar rumah sehinggalah dikejutkan anak pada jam 7.30 pagi.

"Pada ketika itu, mangsa memberitahu dia mahu tidur dahulu dalam kereta sebelum anaknya terus ke tempat kerja di Sungai Petani," katanya.

Beliau berkata, difahamkan mangsa mempunyai masalah kesihatan, namun tidak dapat dipastikan jenis rawatan yang diambil.

"Hasil siasatan juga mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kesan kecederaan ditemui di mana dompet dan telefon bimbit masih ada.

"Maklumat awal kematian diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Katanya, kakitangan perubatan telah dipanggil untuk sanitasi mayat sebelum dihantar ke hospital untuk dibedah siasat.