Pertimbangan terbaik dibuat kerajaan

Jomo Kwame (kanan, atas) dan Ahmad Firdaus (kanan, bawah) bersama moderator Ahmad Fahmi sewaktu berlangsungnya Wacana Sinar Harian ke-199 bertajuk PKP 2.0: Bersediakah Kita? yang diadakan secara atas talian malam tadi.
Jomo Kwame (kanan, atas) dan Ahmad Firdaus (kanan, bawah) bersama moderator Ahmad Fahmi sewaktu berlangsungnya Wacana Sinar Harian ke-199 bertajuk PKP 2.0: Bersediakah Kita? yang diadakan secara atas talian malam tadi.
A
A
A

SHAH ALAM – Pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan pilihan terbaik pada masa ini terutama negara sedang dalam proses pemulihan ekonomi ketika ini.

Pakar ekonomi, Profesor Dr Jomo Kwame Sundaram berkata, PKP yang dilaksanakan sebelum ini menyaksikan banyak syarikat kecil yang terpaksa 'gulung tikar' dan ramai pekerja dibuang majikan.

Menurut Jomo Kwame, jika PKP dilaksanakan semula, dibimbangi keadaan itu akan menyebabkan syarikat besar pula berdepan dengan perkara sama.

“Kita saksikan bagaimana teruk kesan ekonomi ke atas perniagaan dan pekerjaan semasa tempoh PKP dilaksanakan.

“Malah, ada golongan seperti mereka yang mempunyai perusahaan kecil-kecilan, penjaja dan sebagainya terkesan kerana tidak dapat menjalankan aktiviti perniagaan mereka.

“Apa yang mereka alami sebelum ini sudah cukup memeritkan dan membebankan. Jadi keputusan kerajaan untuk tidak melaksanakan semula PKP adalah satu langkah baik dan kita perlu bersyukur,” katanya pada Wacana Sinar Harian ke-199 bertajuk PKP 2.0: Bersediakah Kita? yang diadakan secara atas talian malam tadi.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan tidak akan laksanakan PKP

Selain beliau, turut diundang menjadi panelis ialah Presiden Medical Mythbusters Malaysia (M3), Dr Ahmad Firdaus Mohd Haris, manakala Ahmad Fahmi Mohd Samsudin sebagai moderator.

Beliau berkata, majoriti aktiviti ekonomi negara terutama sektor makanan dan tenaga akan terjejas teruk dan menyaksikan pengurangan tenaga kerja.

Artikel Berkaitan:

“Ini kerana tempoh pandemik koronavirus (Covid-19) telah mengajar dunia ekonomi dengan normal baharu untuk beroperasi menggunakan tenaga kerja paling minimum,” katanya.

Jomo Kwame Sundaram
Jomo Kwame Sundaram

Katanya, inisiatif dan program bantuan yang terkandung dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Penjana (Pelan Jana Semula Ekonomi Negara) dilihat kurang membantu rakyat terutama golongan yang terjejas teruk.

“Bagi saya pakej Penjana kurang menjana aktiviti baru bagi mereka yang terkesan. Malah, pakej Prihatin juga perlu diperluaskan lagi supaya nasib golongan berkenaan mendapat perhatian serta pembelaan sewajarnya.

“Namun, ia bukan salah dasar, sebaliknya penguatkuasaan dan pelaksanaannya tidak dibuat secara menyeluruh dan berkesan,” katanya.

Dalam pada itu, bekas Ahli Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) itu memberitahu, kerajaan sepatutnya mencontohi negara lain seperti China, Jepun dan Korea Selatan dalam mengekang penukaran wabak itu.

“Malangnya banyak negara terpengaruh dengan pendekatan yang diambil negara Barat sama ada Amerika Selatan atau Britain.

“Tetapi sekarang kita patut belajar dar negara-negara miskin seperti Vietnam, bagaimana mereka menangani pandemik itu dengan lebih berkesan,” katanya.

Jomo Kwame yang juga bekas Ahli Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) turut melahirkan kebimbangan terhadap koordinasi yang agak longgar dalam kalangan pemimpin kerajaan dalam mendepani Covid-19.

“Dalam hal itu, pentingnya untuk semua anggota kerajaan bekerjasama secara optimum dalam mengendalikan wabak dan memulihkan negara selepas wabak.

“Perlunya perubahan dalam hidup yang biasa dan penjarakan sosial menjadi sebahagian daripada kehidupan kerana beberapa negara yang mengumumkan bebas Covid-19 sebelum ini, kini bakal berdepan serangan gelombang ketiga. Bahkan, Malaysia tidak dapat pastikan bahawa tiada malapetaka lain yang bakal muncul kemudian hari,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan juga diminta tidak ‘memilih bulu’ dalam soal penguatkuasaan undang-undang kepada mereka yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Tidak kira mereka itu menteri atau orang biasa, undang-undang lebih berat perlu dikenakan ke atas mereka yang melanggar arahan SOP itu agar usaha mengekang penularan wabak tersebut tidak sia-sia,” katanya.