X

Kindly register in order to view this article
!

Cabut lari tinggal barang runcit seludup

PGA Batalion 7 Kuantan merampas pelbagai barangan runcit seludup dari Thailand berjumlah RM5,264 berhampiran kawasan kampung di belakang pos kawalan Aksem Rantau Panjang.
A
A

RANTAU PANJANG - Seorang lelaki bertindak melarikan diri meninggalkan kereta yang membawa pelbagai barangan runcit seludup dari Thailand selepas menyedari kehadiran anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) berhampiran pos kawalan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) Rantau Panjang di sini pagi semalam.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7 Kuantan, Superintendan Azhari Nusi berkata, anggota PGA dari unit bermotosikal yang sedang meronda di sekitar Rantau Panjang terlihat sebuah kereta keluar dari pangkalan haram Posmen dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam 7 pagi.

Menurutnya, anggota PGA mengekori kereta jenis Proton Waja sehingga ke laluan kampung tepi pos kawalan Aksem Rantau Panjang.

"Sebaik menyedari diekori, pemandu kereta tersebut bertindak memberhentikan kereta dan melarikan diri ke kawasan semak yang berhampiran.

"Anggota PGA menjalankan usaha mengesan pemandu tersebut namun gagal dikesan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas kereta terbabit menemui pelbagai barangan runcit seperti beras, tepung, mi segera, tembakau dan minuman berjumlah RM5,264.

"Siasatan awal mendapati pelbagai barangan runcit diseludup dari negara jiran itu untuk pasaran di sekitar Rantau Panjang.

"Kesemua barangan rampasan termasuk kereta bernilai RM20,264 itu dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang siasatan lanjut. Kes disiasat bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!