Petanda di Cameron Highlands

Satu ‘wake-up call’ kepada PH untuk mencari sebab dan punca di mana salah silap mereka

A
A
A

CALON BN, Ramli Mohd Noor bukan sahaja berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highlands, tetapi turut mencatat sejarah sebagai Orang Asli pertama yang dipilih sebagai Ahli Parlimen di negara ini.

Ramli Mohd Noor (BN): 12,038 (56.18%)

M Manogaran (DAP/PH): 8,800 (41.07%)

Salehudin Ab. Talib (Bebas): 314 (1.47%)

Wong Seng Yee (Bebas): 276 (1.29%)

Jumlah Pengundi: 32,009

Jumlah undi: 21,425

Undi rosak: 568

Artikel Berkaitan:

Undi tidak dipulang: 23

Peratus Mengundi: 68.79%

Majoriti: 3, 238

Pas pula membuat keputusan untuk tidak meletakkan calon. Untuk memudahkan perbandingan, kita lihat keputusan PRU14.

BN: 10,307 (42.30%)

Pas: 3,587 (14.72%)

DAP/PH: 9,710 (39.85%)

PSM: 680 (2.79%)

Berjasa: 81 (0.33%)

Jumlah mengundi: 79.03%

Majoriti: 597

Pecahan pengundi Cameron Highlands adalah seperti berikut:

Melayu: 33.5%

Cina: 29.48%

India: 14.91%

Orang Asli: 21.56%

Lain-lain: 0.55%

Ramalan awal pemerhati politik

Kebanyakan meramalkan Umno/BN mempunyai kelebihan. Mereka mengambil kira kerusi Cameron Highlands kubu kuat BN semenjak diwujudkan pada tahun 2004 (PRU11).

Namun begitu, majoriti BN makin berkurangan dari satu pilihan raya kepada pilihan raya yang seterusnya. Sementara itu undi DAP/PR dan DAP/PH semakin meningkat. Pada PRU14, kelebihan undi BN hanyalah sekadar 597 undi sahaja. Namun dengan keputusan Pas untuk menyokong Umno/BN, undi yang diperoleh oleh calon parti itu pada PRU14 akan dapat kepada Umno/BN. Tambah lagi mereka berjaya memujuk MIC untuk memberi laluan kepada calon pilihan Umno/BN.

Umno membuat pilihan bijak menampilkan Ramli, bekas pegawai polis kanan dari keturunan Orang Asli Temiar untuk meraih sokongan padu pengundi Orang Asli dan Melayu. Isu-isu semasa di Cameron Highlands dan di peringkat nasional juga telah diambil kira untuk melengkapkan senario politik sepanjang kempen PRK.

Reaksi, analisis selepas keputusan rasmi

The Straits Times telah menyebut Umno/BN menang dengan hebat sekali (crushing victory). Berita Harian memetik ulasan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyebut bahawa keputusan PRK Cameron Highlands adalah peringatan kepada PH agar lebih peka dengan masalah rakyat.

Bernama dan Malaysiakini mengatakan kemenangan Umno/BN adalah hasil daripada kerjasama dan sumbangan dari pengundi Pas. FMT membawa ulasan bahawa ia satu isyarat untuk PH bermuhasabah diri (wake-up call) tetapi menegaskan bahawa keputusan tersebut bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Malaysia Chronicle menyebut pengakuan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kekalahan PH di Cameron Highlands satu pengajaran untuk PH melihat dan menilai kelemahan dalam gagasan dan parti komponen yang perlu dibaiki secepat mungkin. The Coverage pula menyebut bahawa kerajaan PH mula tergugat dengan barisan menteri yang sudah hilang arah tujuan dan yang asyik berbalah sesama sendiri.

Menghayati keputusan secara objektif

Dua hari sebelum tarikh pengundian, penulis telah menulis bahawa apa pun keputusan di tanah tinggi itu, rakyat jelata pada umumnya dapat menerimanya dengan hati yang lapang dan jiwa yang tenang.

Penulis mengatakan bahawa jika PH menang, maka ianya akan dianggap sebagai kesinambungan kepada sokongan yang diberi kepada PH semasa PRU14. Jika Umno/BN menang, rakyat juga boleh menerima keputusan tersebut dengan tenang dan senang. Sebagai satu ‘wake-up call’ kepada PH untuk memaksa mereka bermuhasabah diri dan mencari sebab dan punca di mana salah silap mereka. Agar mereka sedar bahawa sokongan rakyat kepada mereka dalam PRU14 dan 4 PRK sebelum ini bukanlah satu ‘carte - blanche’ untuk mereka melakukan apa saja yang mereka suka tanpa mempedulikan harapan dan aspirasi rakyat.

Rakyat sedar bahawa negara perlukan satu sistem politik di mana ada parti alternatif yang kuat dan kredibel untuk menandingi gagasan PH yang menguasai tampuk kerajaan. Untuk memain peranan semak dan imbang agar demokrasi kita akan jadi lebih terjamin dan kepentingan rakyat lebih terjaga.

Kemenangan untuk Umno/BN juga mampu menyuntik kembali semangat juang mereka yang kian luntur akhir-akhir ini. Ianya juga membuka ruang dan peluang kepada Umno dan Pas untuk bekerjasama dengan lebih erat dan padu lagi di masa hadapan.

Pada umumnya kebanyakan pemerhati politik telah membuat ramalan yang tepat tentang kemenangan Umno/BN. Namun mereka sedikit tersasar bila mengandaikan bahawa persaingan agak sengit dengan majoriti Umno/BN dijangka tidak melebihi 1,000 undi. Jika kita ambil kira bahawa BN telah memperoleh majoriti kurang lebih 600 undi semasa PRU14 dan 3,600 undi dari Pas akan berpihak kepada Umno/BN; sikap pengundi tidak banyak berubah semenjak PRU14. Calon Umno/BN yang merupakan anak tempatan Orang Asli dan mantan pegawai kanan polis menjamin sokongan yang padu dari pengundi Melayu dan Orang Asli; isu agama dan kaum yang dimainkan Umno/BN dengan hebatnya; Datuk Seri Najib Razak membawa impak yang positif kepada Umno/BN dengan orang Melayu dan Orang Asli Cameron masih menyayanginya; isu-isu semasa di peringkat tempatan dan nasional pula mengimbangi kedua-dua pihak dari segi baik dan buruknya, maka kita berdepan dengan prospek majoriti kurang lebih 4,200 undi untuk Umno/BN. Pengundi Cina dan India dikira tetap kental dengan sokongan mereka kepada PH. Jika undi MIC/BN dan Pas yang diperoleh di PRU14 dicampurkan, maka peratus gabungan tersebut ialah kurang lebih 57%.

Setelah membuat pelarasan dengan mengambil kira peratusan 69% yang keluar mengundi, iaitu 10% lebih rendah dari 79% pada PRU14 dan faktor-faktor yang tersebut di atas, maka kita boleh menjangkakan Umno/BN sewajarnya mampu meraih kemenangan dengan majoriti kurang lebih 3,600 undi.

Ini bersandarkan kepada diskaun di antara 10% hingga 15% ke atas majoriti yang sewajarnya. Tetapi majoriti yang diperoleh Umno/BN hanyalah kurang lebih 3,200 sahaja. Ini bermakna kurang lebih 400 undi telah menyeberang kepada PH. Peratusan undi yang diraih oleh Umno/BN ialah 56.18% iaitu penurunan 1% dari peratusan gabungan undi BN dan Pas semasa PRU14. Sementara itu peratusan yang diraih oleh DAP/PH meningkat dari 39.85% semasa PRU14 kepada 41.07% di PRK ini, iaitu peningkatan sebanyak 1.22%.

Keputusan tersebut adalah dikira sesuatu yang terbaik untuk rakyat jelata yang mahukan kepentingan mereka dan negara sentiasa terlindung. Pemimpin-pemimpin politik perlu sedar tentang suara keramat rakyat. Rakyat perlu terus kritis dalam penilaian mereka dan membuat pilihan yang tepat dari masa semasa.

PRK Semenyih

Pada PRU14, Dun Semenyih telah dimenangi oleh PH dengan majoriti 8,964 undi. Bersatu/PH telah mendapat 23,428 undi (51%); Umno/BN 14,464 (31%) dan Pas 6,966 (15%). Ertinya jika digabungkan undi Umno/BN dengan Pas mengikut formula kerjasama Umno/BN dan Pas di Cameron, mereka masih ketinggalan kurang lebih 2,000 undi lagi. Oleh itu perkiraan sepintas lalu akan memberi kelebihan kepada PH. Analisis yang lebih terperinci perlu dibuat selepas ini untuk mengambil kira isu-isu semasa.

Apa yang perlu dinyatakan ialah jika PH kecundang lagi pada PRK Semenyih pada 2 Mac ini, maka ia akan dilihat sebagai membawa implikasi dan ramifikasi yang besar kepada percaturan politik negara, jauh mengatasi keputusan PRK Cameron. Ia akan menjadi satu gegaran yang bakal mengubah landskap politik negara. Sama-sama kita tunggu dan lihat nanti.