30 pemain giat rebut slot ke Vietnam 2021

A
A
A

SERAMAI 30 pemain sedang mengintai peluang mewakili negara pada Sukan SEA 2021 di Vietnam tahun depan apabila barisan kejurulatihan masih menilai prestasi mereka dalam beberapa kejohanan yang sedang berlangsung ketika ini termasuk Liga Sepak Takraw (STL).

Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail berkata, 30 pemain itu dibahagikan kepada lima kategori dan dinilai dari semasa ke semasa berdasarkan pelbagai kriteria ditetapkan badan induk itu termasuk melepasi ujian Institut Sukan Negara (ISN).

“Pada pandangan saya, pemain muda yang kita ada ketika ini tidak jauh beza prestasi dengan pemain senior, dan saya tidak terkejut jika ada satu regu muda pergi ke Sukan SEA.

"Saya yakin apa kita lakukan sejak beberapa tahun lepas berjaya dan tahun ini kita perkemaskan kriteria sedia ada,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama di pejabatnya, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Ahmad memaklumkan PSM masih menilai beberapa faktor sebelum memutuskan acara yang bakal disertai pada Sukan SEA akan datang.

Antara faktor berkenaan adalah kekuatan skuad sedia ada, kelemahan pasukan lawan serta peluang meraih pingat dalam sesuatu acara.

Vietnam dilapor bercadang mempertandingkan acara ‘double' dan berpasukan, antara regu dan berpasukan, ‘quadrant’ serta berpasukan selain acara wanita.

“Insya-ALLAH, skuad wanita kita boleh dapat pingat tapi tak pasti warna apa. Kekuatan kita adalah antara regu lelaki dan wanita, selain quadrant walaupun kita yang mencadangkan pengenalan acara double pada Sukan SEA.

Artikel Berkaitan:

“Kalau boleh sertai semua acara, sudah semestinya saya mahu hantar pasukan kita sertai semua acara. Kalau diberi pilihan untuk ambil empat acara, mungkin kita akan ambil quadrant dan berpasukan, serta antara regu dan berpasukan,” kata Ahmad.

Pada Sukan SEA 2019 di Filipina, Malaysia sekadar meraih dua pingat perak menerusi acara antara regu dan berpasukan lelaki, serta satu gangsa dalam acara antara regu wanita.