Rakyat terbeban jika denda langgar PKP dinaikkan

Haslihelmy DM Zulhasli
Haslihelmy DM Zulhasli
A
A
A

KUANTAN - Cadangan sebuah badan bukan kerajaan NGO untuk menaikkan kadar denda bagi memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah tidak wajar.

Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP), Haslihelmy DM Zulhasli berkata, saranan itu hanya menambahkan beban rakyat khususnya bagi mereka yang berpendapatan rendah.

Menurutnya, malah ia bukan satu kaedah untuk mendisiplinkan kerana rakyat sudah cuba mematuhi sebaik mungkin kehidupan mengikut normal baharu ini.

"Rata-rata rakyat sedang bercakap perkara ini dan mereka (rakyat) tidak bersetuju dengan cadangan terbabit. Mereka sebenarnya bergantung sepenuhnya kepada sumber pendapatan tidak seberapa selepas terkesan dengan PKP sebelum ini.

"Jadi, sebab itu kerajaan perlu melakukan sesuatu untuk membantu rakyat bukan menambah beban mereka," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Semalam, Pertubuhan Gerakan Transformasi Pengguna Malaysia (GTPM) membuat gesaan agar kerajaan menaikkan kadar denda supaya dapat mendisiplinkan masyarakat dan berada di luar rumah untuk urusan penting saja.

Pengerusi GTPM Azman Kang Abdullah membuat cadangan itu susulan peningkatan kes koronavirus (Covid-19) yang mendadak dan sampai masanya pihak berkuasa mengenakan denda lebih tinggi kepada mereka yang ingkar.

Dalam pada itu, Haslihelmy berkata, selepas pelaksanaan PKP ekoran penularan pandemik Covid-19, rakyat terbeban kerana tidak dapat bekerja dan lebih memeritkan ada dalam kalangan rakyat yang diberhentikan kerja.

Artikel Berkaitan:

Katanya, malah ada segelintir rakyat yang kekal bekerja tetapi dengan kadar gaji yang dikurangkan oleh majikan.

"Namun bermula bulan ini moratorium enam bulan berakhir. Bagi rakyat yang tidak bekerja, mereka masih boleh menarik nafas lega kerana kebanyakan bank memberi lanjutan moratorium lagi tiga bulan.

"Bagaimana pula dengan nasib nasib golongan B40, M40 yang sudah kembali bekerja tetapi dengan bayaran gaji yang berkurangan? Tiada lagi moratorium untuk mereka tetapi hanya penstrukturan semula bayaran bank," katanya.

Beliau bagaimanapun berharap agar kerajaan meneruskan pemberian moratorium untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga bulan lagi.

Katanya, perkara ini seperti dinyatakan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi tempoh suku kedua iaitu April hingga Jun tahun ini, yang menyaksikan moratorium pinjaman diberikan secara pukal, bank masih mencatatkan keuntungan.

"Jadi pelbagai pihak juga seharusnya tampil membuat saranan untuk melanjutkan tempoh moratorium kerana rakyat masih ramai yang terbeban. Malah perkara sama turut dicadangkan oleh Najib," katanya.