Melaka arah individu pulang dari Sabah, Kedah jalani kuarantin

SULAIMAN
SULAIMAN
A
A
A

MELAKA TENGAH - Kerajaan negeri mengarahkan penduduk Melaka yang baru pulang dari kawasan berisiko tinggi iaitu Sabah dan Kedah wajib menjalani tempoh kuarantin kendiri dan mematuhi segala arahan serta peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata kegagalan berbuat demikian bukan sahaja boleh menyebabkan masalah kepada individu yang terlibat malah boleh menyebabkan penularan wabak Covid-19 dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata ini kerana Melaka merupakan sebuah negeri pelancongan dan sektor itu menjadi nadi utama ekonomi negeri.

“Bagi memastikan sektor pelancongan domestik di samping sektor ekonomi dan sosial yang lain dapat terus beroperasi seperti biasa dalam tempoh agak sukar ini, semua pihak perlu bersama-sama berganding bahu bagi memutuskan rantaian penularan wabak itu.

"Hanya dengan kita semua mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan pihak berkuasa di samping sentiasa mengamalkan amalan norma baharu ini, kita pasti dapat memutuskan penularan rantaian Covid-19 ini," menurutnya dalam kenyataan di sini malam ini.

Sehingga kini, menurut rekod Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM), negeri itu merekodkan enam kes aktif Covid-19.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri Rahmad Mariman berkata kerajaan negeri menerusi JKNM sentiasa bersiap siaga dengan menyediakan sebanyak 78 katil yang dikhususkan bagi merawat pesakit Covid-19 dan Pesakit Bawah Siasatan (PUI).

Menurut beliau, kapasiti itu boleh ditambah sehingga 145 katil jika ada keperluan di Hospital Melaka dan 40 katil untuk pesakit berisiko rendah COVID-19 di Kolej Jururawat hospital berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Jumlah keseluruhan ventilator adalah 54 unit termasuk lapan yang dikhaskan untuk kes kritikal Covid-19 dan semua pejabat kesihatan daerah, klinik kesihatan serta perkhidmatan ambulans di Melaka juga bersiap sedia bagi menghadapi situasi peningkatan kes.

"Semua pintu masuk di negeri ini juga dipantau rapi oleh kakitangan kesihatan dan Melaka turut menghantar pasukan mobilisasi ke Lapangan Terbang Antarabangsa serta pusat kuarantin di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor bagi membantu pengurusan pesakit Covid-19 di sana," katanya.

Beliau turut menyeru orang ramai supaya merujuk kenyataaan rasmi Kementerian Kesihatan dan JKNM bagi memastikan kesahihan berita dan sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Melaka di talian 06-235 6999/6851 atau melalui e-mel cprcmelaka@moh.gov.my. - Bernama