Mengkritik dan dikritik

Asyraf Wajdi Dusuki
Asyraf Wajdi Dusuki
A
A
A

MASIH segar dalam ingatan penulis, era dan ketikanya bersama teman-teman aktif berkarya dalam arena aktivisme mahasiswa dan belia. Selain mengisi masa dan keghairahan darah panas anak muda untuk membina persahabatan serta ‘mengubah dunia’, pada era itu jugalah roh dan gaya kepimpinan penulis pada hari ini dibentuk serta diperhalusi bersama teman yang lain.

Cabaran kepimpinan dari dahulu sehinggalah kini tidak banyak berubah. Elemen yang konsisten apabila kita bercakap mengenai kepimpinan adalah penerimaan dan penghargaan diri terhadap kritikan, sama ada dikritik atau memberi kritik dan yang pasti sebagai pemimpin, mereka harus sedia dikritik.

Kritik menurut definisi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta konteks penulisan kali ini adalah ‘memperkatakan (mengulas dan sebagainya) keburukan atau kelemahan sesuatu atau seseorang.’ Oleh itu, konsep kritikan tidak asing bagi pemimpin, sama ada dalam parti politik, syarikat swasta, kerajaan, persatuan belia hatta seorang ketua kelas juga harus ‘menghargai’ kritikan kerana merekalah individu yang sentiasa dilihat dan dinilai sepanjang masa. Kritikan itu sendiri juga bukanlah sesuatu yang sentiasa benign atau tidak memudaratkan.

Ada kritikan yang baik dan bertujuan untuk membina (constructive criticism) tetapi pada kebanyakan masa dan situasi, kritikan itu dilihat bersifat negatif kerana ia dikeluarkan dengan nada dan niat yang keras, kasar dan ada masanya tidak berasas langsung. Sebab itulah, seseorang pemimpin itu harus pandai menguruskan kritikan yang diterima dan sampai ketikanya, dan lebih pandai dalam memberikan kritikan kepada yang lain seperti teman sekerja dan anak buah. Kritikan yang diterima pula harus ‘dihargai’ dan diteliti dengan minda yang terbuka serta perlu elakkan ia dilihat lebih ‘mencederakan’ daripada ‘membina’.

Itulah antara cabaran kepimpinan yang penting dan berkemungkinan ramai tewas kerana mereka gagal menguruskan kritikan dengan baik serta bijaksana, sekali gus menyebabkan kepercayaan ramai terhadap diri mereka mula terhakis dengan persepsi dan pandangan kurang molek.

Menguruskan kritikan tidak mudah. Ia memerlukan komitmen dan kesungguhan diri yang tinggi kerana kritikan itu sifatnya sungguh peribadi apabila ia dikeluarkan dengan niat jahat. Dalam bahasa mudah, kritikan negatif pada kebiasaannya memang mahu melihat kita ‘cepat koyak’, melatah dan membuat kesilapan.

Apabila minda ‘koyak’, amarah dan geram akan menguasai minda serta hati. Sudah pasti mana-mana individu, lebih-lebih lagi seorang pemimpin tinggi, akan bertindak balas. Itulah yang akan terjadi apabila kritikan itu gagal diuruskan dengan baik. Kritikan itu tidak difahami niat dan pengisiannya serta dilihat sebagai negatif sepanjang masa. Mengapakah perkara itu sering terjadi kepada pemimpin?

Angkuh! Keangkuhan pada posisi yang dipegang dan berasakan keistimewaan yang hadir bersama jawatan itu sebagai hak atau entitlement. Mereka yang angkuh akan berasakan tindak tanduk dan kenyataan mereka tidak boleh dipersoal. Mana-mana kritikan yang hadir memerlukan ia dibalas atau disahut sepanjang masa kerana berasakan diri sentiasa lebih arif dan berpengalaman daripada yang lain.

Artikel Berkaitan:

Keangkuhan itu jugalah yang mengaburi hati dan minda mereka untuk tergamak berbuat atau berkata sesuatu yang memudaratkan organisasi secara keseluruhan, lantas lupa siapakah yang meletakkan mereka pada kedudukan itu berserta hakikat bahawa tidak selamanya seseorang itu akan berada di atas

Sehingga hari ini, penulis insaf dan sentiasa diingatkan bahawa amanah kepimpinan itu hadir daripada teman-teman yang meletakkan penulis pada posisi itu dan sehingga hari ini, merekalah yang memberi nasihat dan kritikan untuk penulis terima dan hargai.

* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia