X

Kindly register in order to view this article
!

Rayuan wanita berhubung status agama ditangguh kerana Covid-19

A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menangguhkan pendengaran rayuan seorang wanita yang dilahirkan sebagai seorang Islam mengikut sebelah bapanya namun dibesarkan sebagai seorang beragama Buddha oleh ibunya yang memohon untuk diisytiharkan sebagai bukan Islam, susulan isu Covid-19.

Peguam Datuk Sulaiman Abdullah yang mewakili Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengemukakan permohonan untuk menangguhkan kes itu sebelum prosiding bermula kerana seorang daripada anggota pasukan perundangan MAIS merupakan kontak rapat seorang menteri yang diuji positif Covid-19.

Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Jumirah Marjuki memaklumkan pemberita bahawa pihak lain yang terlibat dalam kes itu tidak membantah permohonan tersebut.

Beliau berkata, permohonan bagi menangguhkan kes itu dibenarkan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang dijadual mempengerusikan panel sembilan hakim untuk mendengar rayuan tersebut.

“Mahkamah telah menetapkan 27 Oktober untuk pengurusan kes bagi menetapkan tarikh pendengaran,” kata Jumirah.

Hari ini, mahkamah sepatutnya mendengar rayuan Rosliza Ibrahim, 38, terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak saman pemulanya bagi mendapatkan satu pengisytiharan bahawa beliau seorang penganut agama Buddha dan bukan Islam.

Peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mewakili Rosliza memaklumkan media bahawa beliau tidak membantah permohonan itu.

“Insiden seperti ini (Covid-19) boleh berlaku kepada sesiapa sahaja,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Persekutuan. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!