'Penyokong boleh guna Perak FC'

Ahmad Faizal Azumu
Ahmad Faizal Azumu
A
A
A

KERTAS Exco mengenai penggunaan nama Perak FC akan dibawa ke dalam Mesyuarat Mingguan Exco, esok untuk diluluskan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, secara dasarnya kerajaan negeri tidak mempunyai masalah untuk meluluskan penggunaan nama Perak FC tersebut.

Menurutnya, penggunaan nama Perak dan Jata Negeri Perak untuk syarikat memang perlu melalui proses mendapatkan kelulusan daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

"Semua penyokong bola sepak jangan panik, jangan kelam kabut, yang pentingnya kita nak menang perlawanan akhir dengan Kedah. Saya doakan kita berjaya dan dapat melangkah ke Piala AFC musim akan datang.

"Penggunaan nama itu akan luluskan esok dan kalau rakyat nak guna Perak FC sekarang gunalah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Integriti Peringkat Negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina, Bandar Meru Raya di sini hari ini.

Beliau mengulas sama ada nama Perak FC tersebut sudah diluluskan oleh MMK untuk digunakan atau sebaliknya.

Semalam, penyokong Perak memohon pengurusan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) menggunakan nama Perak FC berbanding Bos Gaurus FC apabila penswastaan sepenuhnya Liga Malaysia dibuat nanti.

Presiden Gabungan Penyokong Bola Sepak Perak (TBG Mobs), Syamsul Baharin Putra Ahmad Shibi berkata, pihaknya melihat nama Perak FC begitu sinonim dengan pasukan yang mencipta pelbagai sejarah dan memenangi banyak piala.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Penyokong mahu nama Perak FC

Dalam pada itu, Ahmad Faizal yang juga Presiden PAFA turut mengesahkan Perak menggunakan nama Bos Gaurus FC ketika proses pendaftaran penswastaan pasukan pada hujung September lalu.

Katanya, nama tersebut digunakan sementara kerana Perak FC belum mendapat kebenaran daripada kerajaan negeri untuk digunakan.