Gagal dirahsiakan nama dalam permohonan cabar undang-undang syariah

Istana Kehakiman di Putrajaya
Istana Kehakiman di Putrajaya
A
A
A

PUTRAJAYA - Seorang lelaki yang menghadapi pertuduhan di Mahkamah Tinggi Syariah atas dakwaan cuba melakukan seks luar tabii gagal untuk dirahsiakan namanya dalam usul mencabar keperlembagaan peruntukan undang-undang Syariah Selangor yang digunakan untuk mendakwanya.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abang Iskandar Abang Hashim ketika menolak permohonan oleh lelaki berusia 35 tahun yang merupakan pempetisyen itu berkata, mahkamah mendapati tiada alasan munasabah dikemukakan di hadapan mahkamah untuk membenarkan perintah dirahsiakan nama bagi menyekat penerbitan namanya.

"Malah afidavit tersebut menunjukkan bahawa hampir semua media tidak mendedahkan identiti pempetisyen. Jadi, saya tidak akan menggunakan bidang kuasa saya untuk membenarkan permohonan ini. Oleh itu, permohonan pempetisyen ditolak,” kata hakim.

Abang Iskandar yang menjadi hakim tunggal dalam kes itu, juga memerintahkan pempetisyen membayar kos RM1,000, masing-masing kepada Kerajaan Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sebagai responden dalam kes tersebut.

Terdahulu, peguam, A Surendra Ananth, yang mewakili lelaki itu berhujah bahawa jika nama anak guamnya disiarkan dalam laporan media, ia akan mengundang risiko keselamatan dan privasinya.

"Permohonan ini perlu dibenarkan kerana jelas risiko keselamatan dan privasi pemohon mengatasi kepentingan awam," tambahnya.

Sementara itu, Penolong Penasihat Undang-undang Negeri, Siti Fatimah Talib yang mewakili kerajaan Selangor berhujah bahawa tiada apa-apa keadaan khas yang membolehkan mahkamah membenarkan permohonan pempetisyen.

"Pempestisyen bukanlah kanak-kanak yang perlu diberi perlindungan khas yang mana maklumat peribadi mereka tidak boleh didedahkan kepada awam.

Artikel Berkaitan:

"Pempetisyen adalah orang dewasa. Setakat ini, tiada laporan polis dibuat oleh pempetisyen bahawa beliau telah diancam dan diganggu," katanya.

Peguam MAIS, Halimatunsa'diah Abu Ahmad berhujah bahawa tindakan undang-undang itu untuk kepentingan umum bagi semua rakyat Malaysia, khususnya umat Islam.

"Sekiranya usul pempetisyen dibenarkan, ia dapat menjadi kebiasaan bagi semua orang yang dituduh dengan sebarang kesalahan jenayah (Syariah atau sebaliknya) untuk bergantung pada keputusan itu bagi mendapatkan perintah tidak dinamakan.

"Pempetisyen tidak menunjukkan bukti adanya sebarang ancaman atau tekanan terhadapnya secara peribadi sejak usulnya dikemukakan ke mahkamah," kata beliau.

Sebelum itu mahkamah telah membenarkan permohonan MAIS untuk mencelah dan dimasukkan sebagai responden kedua dalam permohonan tersebut atas alasan majlis itu mempunyai kepentingan langsung terhadap usul tersebut.

Bagaimanapun, mahkamah menolak permohonan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) untuk mencelah dalam kes itu tetapi membenarkannya hadir sebagai amicus curiae (rakan mahkamah).

Mahkamah menetapkan 14 Disember untuk mendengar usul itu.

Bagaimanapun, nama lelaki itu tidak didedahkan setelah peguam berkenaan selepas prosiding telah meminta media supaya tidak berbuat demikian.

Pada 25 Mei lepas, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan lelaki itu untuk memulakan prosiding menerusi petisyen terhadap Kerajaan Selangor untuk diisytiharkan bahawa Seksyen 28 Enakmen Kesalahan-Kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1985 adalah tidak sah.

Pada 21 Ogos, tahun lepas Ketua Pendakwa Syarie menerusi pendakwa Syariah memutuskan untuk mengemukakan pertuduhan di bawah Seksyen 28 Enakmen terhadap pemohon di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor.

Pemohon dituduh cuba melakukan persetubuhan luar tabii dengan lelaki lain di dalam sebuah rumah di Selangor pada 9 November 2018.

Lelaki itu mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu dan perbicaraannya di Mahkamah Syariah telah ditangguhkan sementara menunggu keputusan permohonannya untuk mencabar keperlembagaan peruntukan dalam enakmen itu yang digunakan untuk mendakwanya.

Pemohon memfailkan permohonan bagi kebenaran untuk memulakan prosiding terhadap Kerajaan Selangor di bawah Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan pada 28 Nov, 2019.

Dalam afidavit untuk menyokong permohonannya, lelaki itu berkata Perkara 1, Senarai-Senarai Negeri Perlembagaan Persekutuan membenarkan Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor untuk menggubal undang-undang bagi 'penetapan dan hukuman bagi kesalahan-kesalahan dilakukan individu beragama Islam yang bertentangan dengan ajaran agama itu kecuali berhubung perkara-perkara yang telah tersenarai dalam Senarai Persekutuan'.

Pemohon mendakwa Seksyen 28 dalam Enakmen itu adalah perkara yang tersenarai dalam Senarai Persekutuan dan sepatutnya dikemukakan menurut undang-undang persekutuan iaitu Kanun Keseksaan.

Dia mendakwa Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor telah melangkaui senarai persekutuan dengan menggubal undang-undang yang sudah tersenarai dalam senarai itu. - Bernama