Dua ahli sindiket 'African Scam' didakwa

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Dua warga Nigeria yang juga ahli sindiket ‘African Scam,’ dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pakatan jenayah penipuan pada Februari lepas.

Ikejiofor John Maduka, 40, dan Mohd Shahrulnizam Ramli, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Sabreena Bakar@Bahari.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh bersetuju antara satu sama lain untuk mendorong seorang lelaki berumur 30 tahun mendaftarkan perniagaan Sumitomo Global serta membuka akaun bank bagi melakukan penipuan ke atas Engro Corporation Limited.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bank di Seksyen 15 di sini antara 4 dan 21 Feb lepas mengikut Seksyen 120B (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Aliff Asraf Anuar Sharuddin menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap tertuduh namun peguam mereka, Muhammad Zufar Elias dan Fazli Zakaria memohon supaya jumlah itu dikurangkan.

Mahkamah membenarkan Mohd Shahrulnizam diikat jamin RM6,000 manakala jaminan terhadap Maduka hanya dibenarkan sekiranya dia mempunyai bukti dokumen perjalanan diri yang sah dan menetapkan 11 Nov sebagai sebutan kes.

Difahamkan, sindiket itu beroperasi sejak Mac tahun lepas dengan modus operandi mencari akaun bank warga tempatan untuk dijadikan 'keldai akaun' yang mana nombornya kemudian dihantar ke 'ibu pejabat' sindiket berkenaan di Nigeria. - Bernama

Artikel Berkaitan: