X

Kindly register in order to view this article
!

Muhyiddin akui PRN Sabah punca kes meningkat

Muhyiddin dalam siaran langsung perutusan khas situasi semasa Covid-19 di akaun Facebook rasminya hari ini.
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 menjadi antara punca peningkatan kes pandemik koronavirus (Covid-19) di negara ini.

Menurut beliau, PRN Sabah terpaksa diadakan apabila Yang di-Pertua Negeri membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 30 Julai lalu.

Jelas Muhyiddin, PRN tersebut tidak dapat dielakkan kerana tertakluk kepada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

“Ia tidak boleh ditangguh. Saya sedar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan prosedur operasi standard (SOP) tertentu bagi memastikan wabak Covid-19 tidak merebak akibat kempen pilihan raya diadakan.

“Tetapi malangnya, ada SOP yang tidak dipatuhi misalnya penjarakan sosial. Ketika saya turun berkempen di banyak tempat, saya lihat SOP mengenai penjarakkan sosial agak kurang dipatuhi.

“Walaupun hampir keseluruhan memakai pelitup muka tetapi masih ramai yang duduk dekat-dekat dalam keadaan yang agak sesak,” katanya pada siaran langsung perutusan khas situasi semasa Covid-19 di akaun Facebook rasminya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, situasi tersebut menyebabkan beliau terpaksa membuat SOP sendiri.

ARTIKEL BERKAITAN: PM jangka kes Covid-19 terus meningkat

Ujar Perdana Menteri lagi, ketika menghadiri program ceramah dengan menaiki kereta, beliau terus ke pentas dan turut mengingatkan orang ramai yang hadir agar tidak duduk rapat, memakai pelitup muka dan sentiasa membasuh tangan atau sanitasi.

“Setelah habis berucap, saya terus masuk kereta dan meninggalkan tempat ceramah. Dengan itu, saya tidak bersalam atau menyentuh sesiapa.

“Saya juga mengingatkan kepada pegawai-pegawai saya supaya tidak mengatur kempen saya di kawasan Zon Merah.

“Namun, hakikatnya telah ada individu yang dijangkiti Covid-19 ketika berada di Sabah sekali gus menjadi sesuatu perkara yang amat mendukacitakan kita,” kata Perdana Menteri.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!