Sekatan perjalanan keluar dari Sabah bermula Isnin ini

Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bermula 12 hingga 25 Oktober depan, sekatan perjalanan keluar dari Sabah akan dikuatkuasakan berikutan peningkatan kes koronavirus (Covid-19), kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, sekatan perjalanan itu meliputi perjalanan dari Sabah ke Semenanjung, Sarawak dan Labuan.

“Bagaimanapun terdapat pengecualian khas diberikan kepada kes-kes tertentu yang melibatkan kes kecemasan, kematian, perkhidmatan perlu dan lain-lain, yang perlu mendapat kebenaran daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Mereka yang telah mendapat kebenaran, perlu menjalani ujian saringan Covid-19 oleh KKM setibanya di pintu masuk destinasi masing-masing,” katanya dalam kenyataan harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKP) di sini hari ini.

Menurutnya, bagi pergerakan masuk ke negeri itu pula, kebenaran akan diberikan kepada beberapa kategori iaitu rakyat Sabah yang memegang MyKad kod H dan pasangan kepada rakyat Sabah yang memiliki pas imigresen Malaysia, yang sah tempoh yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia, Sabah atau bukti perkahwinan dan sijil lahir anak.

Selain itu kebenaran turut diberikan kepada pekerja bidang perkhidmatan perlu yang mempunyai pas Imigresen Malaysia yang sah tempoh dan pelajar bukan rakyat Sabah yang mempunyai kad pelajar daripada Jabatan Imigresen Malaysia, Sabah.

Turut dibenarkan, pemastautin tetap Sabah yang memiliki MyPR kod H atau Kad Permit Masuk atau endosmen permit masuk dalam pasport.

Katanya, bagi anggota perkhidmatan awam Persekutuan yang berkhidmat di Sabah, mereka perlu mendapatkan cop Seksyen 66(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 di Pejabat Imigresen Sabah, setelah masuk ke negeri itu.

Artikel Berkaitan:

Mereka yang ingin memasuki negeri itu perlu membuat permohonan kepada Jabatan Ketua Menteri melalui Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan untuk pertimbangan dan perlu menjalani ujian saringan Covid-19 oleh KKM setibanya di pintu masuk destinasi masing-masing.

Sebarang pertanyaan lain boleh diajukan kepada Bilik Gerakan Bencana Sabah di talian 088-369434.

Sementara itu Ismail Sabri berkata, semalam seramai 363 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Daripada jumlah itu, seramai 307 individu telah dikompaun manakala 56 direman. Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk tidak memakai pelitup muka seramai 144 individu, gagal menyediakan peralatan dan rekod butiran diri 129 individu, dan tidak mematuhi penjarakan fizikal seramai 53 orang,” katanya.

Pada masa yang sama, katanya, seramai 151 pendatang tanpa izin dan seorang tekong, berjaya ditahan dalam Operasi Benteng selain lima kenderaan darat turut berjaya dirampas hasil 133 sekatan jalan raya yang diadakan. - Bernama