SPR tentukan tindakan status kerusi Parlimen Batu Sapi

ABDUL GHANI
ABDUL GHANI
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengumumkan tindakan lanjut berhubung arahan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun untuk mengisi kekosongan kerusi Parlimen Batu Sapi minggu depan.

Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, surat pemberitahuan kepada SPR berhubung perkara itu sudah diterima pihaknya hari ini.

Namun, katanya, tindakan seterusnya akan diambil SPR selepas beliau selesai menjalani kuarantin selama dua minggu.

"Sekarang saya masih kuarantin di rumah, jadi lepas kuarantin dua minggu ini tamat, saya akan mengadakan mesyuarat untuk membincangkan perkara tersebut.

"Mesyuarat itu akan diadakan pada minggu depan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Terdahulu, Azhar Azizan dalam satu kenyataan akhbar mengesahkan pihaknya sudah mengemukakan surat pemberitahuan kepada SPR berhubung kematian Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong pada 2 Oktober lalu.

Katanya, selaras dengan Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan, SPR hendaklah mengisi kekosongan luar jangka kerusi Parlimen itu dalam tempoh 60 hari daripada tarikh dipastikan oleh SPR Malaysia ada kekosongan.

Sementara itu, pada 2 Oktober lalu, Vui Keong yang berusia 60 tahun dilaporkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu, Sabah sejak 9 September lalu.

Artikel Berkaitan:

Mendiang yang berasal dari Kota Belud itu dipilih sebagai Ahli Parlimen Batu Sapi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).