Dua kapal ditahan pindah minyak tanpa kebenaran

Salah sebuah kapal ditahan kerana memindahkan minyak tanpa kebenaran di Perairan Johor Timur, petang semalam.
Salah sebuah kapal ditahan kerana memindahkan minyak tanpa kebenaran di Perairan Johor Timur, petang semalam.
A
A
A

KOTA TINGGI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tanjung Sedili, menahan dua kapal yang sedang memindahkan minyak pada kedudukan 14 batu nautika dari Timur Laut Tanjung Kelesa di Perairan Johor Timur petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Kepten Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata, kedua-dua kapal tersebut iaitu kapal tangki serta kapal pengangkut didapati merapat antara satu sama lain ketika ditahan pada jam 1.55 petang oleh kapal ronda APMM yang melaksanakan Op Jaksa dan Op Benteng Laut.

"Kedua-dua kapal ituditahan atas kesalahan berlabuh tunggu tanpa pemakluman atau kelulusan Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar (OPS) 1952 dan Seksyen 491B(1)(K) OPS 1952 kerana menjalankan aktiviti ship to ship (STS) tanpa kebenaran," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Zulfadli berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua kapal tersebut telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 361(6) OPS 1952 kerana gagal mengemukakan dokumen kontrak atau polisi insurans.

"Kapal pengangkut jenis Bulk Carrier berdaftar di Indonesia itu dikendalikan oleh 23 kru termasuk nakhoda yang kesemuanya warga Indonesia berumur lingkungan 21 hingga 53 tahun.

"Manakala kapal tangki yang berdaftar di Malaysia dikendalikan oleh lapan kru termasuk nakhoda, dua daripadanya warga Singapura dan selebihnya warga Indonesia berumur lingkungan 22 hingga 44 tahun," katanya.

Jelasnya, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya mengikut Seksyen 491B(L) dan Seksyen 491B(1)(K) OPS 1952. Manakala bagi Seksyen 361(6) OPS 1952 boleh didenda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM100,000.

"Kes akan disiasat di bawah Akta Kastam 1967 kerana tiada apa-apa isytihar kastam atas minyak yang dipindahkan dan Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan Akta Petroleum (Langkah-langkah Keselamatan) 1984 kerana menjalankan aktiviti di luar had pelabuhan atau urus niaga tanpa lesen," katanya.

Artikel Berkaitan: