Polis yakin suspek pencemaran sungai dapat dikesan

Che Zakaria (tengah) berada di lokasi meninjau lokasi penemuan bahan pencemaran di Kawasan Perindustrian Nilai, Jalan Emas yang ditutup.
Che Zakaria (tengah) berada di lokasi meninjau lokasi penemuan bahan pencemaran di Kawasan Perindustrian Nilai, Jalan Emas yang ditutup.
A
A
A

NILAI - Polis yakin suspek yang menyebabkan pencemaran di Sungai Batang Benar sehingga berlaku gangguan bekalan air di Selangor dapat dikesan tidak lama lagi.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Che Zakaria Othman berkata, berdasarkan siasatan awal, polis yakin bahan pencemaran berkenaan dipercayai dibuang oleh pihak luar ke negeri ini.

"Kami positif bahawa suspek dapat dikesan dan polis kini sedang bekerjasama dengan semua pihak bagi tujuan itu," katanya pada sidang akhbar selepas melawat lokasi pencemaran Sungai Batang Benar di Kawasan Perindustrian Nilai, Jalan Emas di sini, hari ini.

Menurutnya, polis telah pun membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan iaitu bagi kesalahan melakukan khianat dengan mendatangkan bencana terhadap perjalanan tali air susulan laporan yang dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Anggota polis dan kakitangan Jabatan Alam Sekitar meninjau lokasi penemuan bahan pencemaran di di Kawasan Perindustrian Nilai, Jalan Emas yang ditutup.
Anggota polis dan kakitangan Jabatan Alam Sekitar meninjau lokasi penemuan bahan pencemaran di di Kawasan Perindustrian Nilai, Jalan Emas yang ditutup.

Sementara itu Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan yang turut berada di lokasi berkata, kerja-kerja pembersihan kawasan tercemar yang bermula semalam dijangka selesai hari ini.

Bagaimanapun katanya, pihaknya masih belum dapat mengenal pasti sama ada bahan pencemaran yang ditemui di Kawasan Perindustrian Nilai, Jalan Emas yang mengalir di Sungai Batang Benar merupakan bahan buangan berjadual atau sebaliknya.

"Sampel air sudah diambil untuk dianalisa dan kita jangka keputusan akan diperoleh dalam beberapa hari lagi.

Artikel Berkaitan:

"Berdasarkan pemerhatian, bahan pencemaran itu dibuang dalam tempoh dua atau tiga hari ini dan JAS (Jabatan Alam Sekitar) dapat mengesannya apabila melihat keadaan rumput di kawasan sekitar yang sudah layu.

"Jumlah bahan yang dibuang belum dipastikan tetapi boleh katakan dalam kuantiti yang banyak kerana luas kawasan tercemar dianggarkan 15 hingga 20 meter," katanya.

Lokasi pencemaran di Kawasan Perindustrian Nilai, Jalan Emas.
Lokasi pencemaran di Kawasan Perindustrian Nilai, Jalan Emas.

Sementara itu, mengenai pencemaran yang turut berkemungkinan berpunca dari Ladang Penternakan Itik di Kuala Sungai Pajam di sini beliau berkata, arahan penutupan ladang berkenaan yang beroperasi secara haram sejak empat lalu akan diambil oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Dalam pada itu katanya, kejadian pencemaran sungai sudah berlaku kali kelima di negeri ini.

Ahad lalu, sebanyak 309,687 akaun pengguna di 274 kawasan membabitkan empat daerah iaitu Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang di Selangor berdepan gangguan bekalan air tidak berjadual susulan pencemaran air mentah di Sungai Semenyih.

Ketua Komunikasi Korporat, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elena Baseri, berkata, Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih dan Bukit Tampoi terpaksa dihenti tugas sepenuhnya berikutan daripada insiden pencemaran tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Empat daerah berdepan gangguan bekalan air tidak berjadual