X

Kindly register in order to view this article
!

Pembelaan dakwa SPRM 'berniat jahat' sengaja aniaya Rosmah

Rosmah (kiri) keluar dari mahkamah selepas hadir bagi sambung perbicaraan kes rasuah yang dihadapinya berhubung projek solar hibrid di sekolah luar bandar Sarawak di Mahkamah Tinggi hari ini.
A
A

KUALA LUMPUR - Pihak pembelaan mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sengaja menganiaya Datin Seri Rosmah Mansor dan berniat jahat melibatkan hanya isteri bekas Perdana Menteri itu dalam pertuduhan meminta rasuah berhubung projek tenaga solar di sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Saksi ke-23, Pegawai Penyiasat SPRM, Noornabilah Mohd Aziman turut diasak soalan dengan mendakwa saksi dari awal lagi tahu mengenai siasatan dan tidak melakukan apa-apa terhadap dua lagi individu disyaki termasuk Setiausaha UMNO Bahagian Pekan, Aazmey Abu Talib dan Pembantu Peribadi, Rosmah, Datuk Rizal Mansor dalam projek berkenaan.

Dalam pemeriksaan balas oleh peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Rosmah, beliau turut mengajukan soalan kepada Noornabilah dan mendakwa pihak SPRM hendak menjatuhkan anak guamnya itu.

Noornabilah bagaimanapun menyatakan dirinya tidak mempunyai pengetahuan berhubung hal tersebut.

Akberdin turut menyoal saksi berkenaan berhubung dakwaan bahawa Aazmey tidak pernah didakwa sehingga hari ini berkaitan projek itu, namun Rosmah pula didakwa atas isu tersebut.

Akberdin turut merujuk kepada perjanjian yang didakwa di mana Aazmey dikatakan akan dibayar RM50 juta oleh Jepak Holdings bagi kerja-kerja perundingan berkaitan projek berkenaan.

Pada prosiding sebelum ini, nama Aazmey disebut semasa pemeriksaan balas oleh pasukan peguambela Rosmah.

Akberdin juga membangkitkan Rosmah selaku tertuduh, dikenakan pendakwaan selektif dan berniat jahat kerana kes rasuah terhadap bekas pembantunya, Rizal digugurkan awal tahun ini sebelum memberi keterangan dalam perbicaraan sekarang.

Pada 8 Januari lalu, dilaporkan bahawa pihak pendakwaan menarik balik kes rasuah terhadap Rizal yang berkaitan dengan projek itu.

AKBERDIN: Gajah depan mata tidak nampak tapi semut dipersalahkan, tuduhan terhadap beliau (Rosmah) adalah 'malicious' (berniat jahat). Tujuan SPRM hendak jatuhkan beliau (Rosmah)?

NOORNABILAH: Tiada dalam pengetahuan saya.

AKBERDIN: Tuduhan terhadapnya (Rosmah) adalah satu bentuk pendakwaan berniat jahat. Yang sepatutnya didakwa seperti Rizal Mansor digugurkan dan Aazmey tidak didakwa sehingga hari ini?

NOORNABILAH: Saya hanya menyiasat, keputusan (sama ada menarik balik pertuduhan) adalah di luar pengetahuan saya, bidang tugas saya.

Rosmah dibicarakan atas tiga tuduhan menyalahgunakan dana bagi projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak bagi Kementerian Pendidikan.

Dia menghadapi satu tuduhan meminta RM187.5 juta dan dua tuduhan menerima rasuah RM6.5 juta daripada pengarah urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin sebagai ganjaran kerana membantu syarikat itu mendapatkan projek bernilai RM1.25 bilion yang diperoleh melalui rundingan langsung dengan kementerian berkenaan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!