PGA rampas rokok seludup bernilai RM1.47 juta

Ku Majidin (tengah) menunjukkan rokok seludup bernilai lebih RM1.47 juta yang dirampas selepas menahan sebuah lori di jalan Beris Kubur Besar, Bachok.
Ku Majidin (tengah) menunjukkan rokok seludup bernilai lebih RM1.47 juta yang dirampas selepas menahan sebuah lori di jalan Beris Kubur Besar, Bachok.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan merampas 1.97 juta batang rokok seludup yang dianggarkan bernilai lebih RM1.47 juta selepas menahan sebuah lori di jalan Beris Kubur Besar, Bachok dekat sini semalam.

Penahanan lori yang sarat muatan rokok putih dilakukan pada jam 11 pagi selepas anggota PGA mengekori kenderaan tersebut sejauh 40 kilometer dari Chabang Empat Tok Mek Ngah, Tumpat ke Beris Kubur Besar dekat sini.

Penolong Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7 Kuantan, Deputi Superintendan Ku Majidin Che Ku Jusoh berkata, bertindak atas maklumat aktiviti penyeludupan, sepasukan anggota PGA yang sedang membuat rondaan terserempak dengan sebuah lori yang dipandu dalam keadaan mencurigakan dari arah Chabang Empat Tok Mek Ngah ke Kota Bharu.

Ku Majidin (kiri) menunjukkan lori yang sarat dengan muatan rokok seludup dipercayai untuk pasaran tempatan.
Ku Majidin (kiri) menunjukkan lori yang sarat dengan muatan rokok seludup dipercayai untuk pasaran tempatan.

"Anggota kita kemudian bertindak mengekori lori hampir satu jam bagi mengenal pasti gudang penyimpanan barangan tersebut.

"Namun kehadiran anggota PGA berjaya 'dihidu' oleh pemandu lori yang kemudian memecut laju kenderaan itu dengan tujuan untuk meloloskan diri," katanya kepada pemberita di Markas Taktikal PGA Lubok Stol di sini hari ini.

Menurutnya, pemandu lori itu kemudian memberhentikan lori tersebut di tepi jalan dan terus melarikan diri tanpa mematikan enjin kenderaan tersebut.

Katanya, anggota PGA kemudian melakukan pemeriksaan keatas lori berkenaan dan menjumpai 197 kotak rokok seludup.

Artikel Berkaitan:

"Kita turut berusaha mengesan suspek di kawasan berhampiran namun menemui jalan buntu.

"Kesemua barangan rampasan termasuk lori dibawa ke markas di Kuala Jambu, Tumpat untuk pemeriksaan lanjut," katanya.

Ku Majidin berkata, siasatan awal mendapati rokok-rokok seludup ini dibawa masuk dari Thailand untuk pasaran tempatan.

Menurutnya, kes disiasat bawah Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967.