Polis marin rampas RM628,433 arak seludup

Muhd Zailani (tengah) menunjukkan minuman keras seludup yang dirampas dalam tiga serbuan berasingan sekitar Johor Bahru, di Markas PPM Wilayah 2, Tampoi, Johor Bahru hari ini.
Muhd Zailani (tengah) menunjukkan minuman keras seludup yang dirampas dalam tiga serbuan berasingan sekitar Johor Bahru, di Markas PPM Wilayah 2, Tampoi, Johor Bahru hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 berjaya merampas 3229.02 liter arak tidak bercukai yang dianggarkan bernilai RM628,433 dalam tiga serbuan berasingan sekitar daerah ini semalam.

Komander PPM Wilayah 2, Asisten Komisioner Muhd Zailani Abdullah berkata, rampasan pertama dibuat pada jam 4.40 petang semasa PPM membuat rondaan di sekitar kawasan pantai Forest City, Iskandar Puteri.

Menurutnya, PPM melihat sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan lalu mengekorinya sehingga ke Jalan Paya Manis sebelum membuat serbuan semasa dua lelaki sedang berurus niaga berhampiran sebuah kereta.

"Serbuan telah berjaya menahan suspek warga tempatan berusia 24 tahun dan 52 tahun. Hasil pemeriksaan dalam kenderaan tersebut menemui 28 karton arak seludup yang tidak mempunyai cukai kastam.

"Hasil maklumat didedahkan serta ditunjukkan salah seorang suspek, serbuan kedua dan ketiga dilakukan pada jam 6 petang dan 7.30 malam di Taman Johor dan Taman Bukit Kempas," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, menerusi dua serbuan susulan berkenaan, PPM merampas 235 kotak, 65 karton minuman keras dan sebuah kenderaan.

Menurutnya, anggaran nilai keseluruhan rampasan minuman keras dan dua buah kenderaan tersebut dianggarkan berjumlah RM703,433.

Tangkapan dan rampasan itu ujarnya, dibawa ke Markas PPM Wilayah 2 di Tampoi di sini untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d)Akta Kastam 1967.

Artikel Berkaitan:

Muhd Zailani berkata, walaupun modus operandi sindiket penyeludupan minuman keras sentiasa berubah-ubah, PPM Wilayah 2 masih dapat menghidu sekali gus mematahkan sindiket terbabit yang bergiat aktif di sekitar daerah itu.

Katanya, penguatkuasaan dan operasi Bersepadu dengan pihak Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) atau Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Johor secara berterusan akan dijalankan dari masa ke semasa.

Masyarakat ujarnya, diminta segera menghubungi dan bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam menangani isu-isu penyeludupan, sebarang maklumat boleh disalurkan kepada PPM Wilayah 2 menerusi talian 07-237 2221.