Formula Rais sindiran buat PH

PRK Cameron Highlands menyaksikan pengaruh BN. - Foto SINAR HARIAN/SAHRIFUDIN ABDUL RAHIM
PRK Cameron Highlands menyaksikan pengaruh BN. - Foto SINAR HARIAN/SAHRIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

SHAH ALAM - Formula ‘tutup tol dan turun harga minyak’ disuarakan Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan, Tan Sri Dr Rais Yatim mungkin adalah sindiran halus buat pemimpin PH yang gagal menunaikan janji PRU14.

Penganalisis sosiopolitik dari Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, formula berkenaan juga menunjukkan PH panik dengan kemenangan BN dalam PRK Parlimen Cameron Highlands.

Menurutnya, PH mungkin tidak menyangka kerjasama BN dan Pas berjaya di Cameron Highlands selepas gagal beberapa kali sebelum ini.

“Panik ini bertambah lagi dengan peningkatan undi BN berlipat ganda berbanding PRU14 pada Mei tahun lepas,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, Awang Azman tidak merasakan rakyat muak dengan PH sehingga membolehkan BN menang sebaliknya rakyat tidak berpuas hati dengan pentadbiran kerajaan yang tidak membawa perubahan diharapkan.

“Rakyat bukan muak dgn PH sekarang sebaliknya rakyat tidak berpuas hati prestasi pentadbiran yang tidak membawa kesan perubahan sebagaimana diharapkan.

Kos hidup tidak banyak berubah, keputusan berubah-ubah, bajet banyak dipotong.

“Isu ICERD (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum) pula mengecewakan masyarakat Melayu Islam sebagai etnik majoriti yang mewakili sekitar 65 peratus,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ketika ditanya adakah formula tersebut akan membawa kejayaan kepada PH di Dun Semenyih, Awang Azman berpendapat bukan isu kejayaan perlu diberi perhatian.

“Saya berpendapat ia bukan isu berjaya atau sebaliknya, akan tetapi ia lebih kepada sejauh mana pimpiman kerajaan PH mahu melaksanakannya,” katanya.

Semalam, Rais dalam laman Twitter beliau berkata ada beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan PH untuk mempertahankan kerusi berkenaan daripada jatuh ke tangan BN.