PBT jangan tunggu aduan untuk bertindak

Hannah Yeoh. - Foto Bernama
Hannah Yeoh. - Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) digesa untuk lebih proaktif dalam menjalankan tugasan terutama dalam isu melibatkan keselamatan kanak-kanak.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh berkata PBT seharusnya tidak menunggu aduan atau laporan kerosakan di taman permainan kanak-kanak sebagai contohnya, sebaliknya menjalankan pemantauan setiap hari di kawasan yang menjadi tumpuan golongan itu.

“PBT tidak boleh duduk dalam office dan tunggu aduan masuk. Mereka kena proaktif untuk melihat dan memastikan setiap hari bahawa padang (kawasan) itu adalah selamat untuk kanak-kanak.

“Ini kerana kalau kanak-kanak bermain tanpa pengawasan ibu bapa dan jika ada peralatan rosak, mereka (kanak-kanak) pun tidak tahu bagaimana hendak buat aduan. Jadi PBT kena proaktif sedikit untuk jalankan audit dan pastikan pembersihan dilakukan setiap hari,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Anugerah Life at Work 2018 anjuran Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) di sini, hari ini.

Beliau mengulas insiden seorang remaja perempuan berusia 15 tahun maut apabila kepalanya tersangkut pada besi sejenis buaian di Taman Metropolitan pada Sabtu.
Artikel Berkaitan:


Ketua Polis Daerah Sentul, ACP S Shanmugamoorthy Chinniah dilaporkan berkata kejadian berlaku semasa remaja itu sedang bermain bersama saudaranya kira-kira pukul 6.30 petang dan kemudian dibawa ke Hospital Selayang sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 7.30 petang.

Bagaimanapun, Yeoh berkata pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung insiden tersebut namun akan bekerjasama dengan PBT untuk memastikan keselamatan kanak-kanak di tempat awam lebih terjamin.- Bernama