Lebih 10 peratus penduduk dunia dijangkiti Covid-19: WHO

Pertubuhan Kesihatan Sedunia menganggarkan bilangan pesakit yang dijangkiti Covid-19 di dunia adalah 20 kali lebih tinggi daripada pengiraan rasmi. - Foto AFP
Pertubuhan Kesihatan Sedunia menganggarkan bilangan pesakit yang dijangkiti Covid-19 di dunia adalah 20 kali lebih tinggi daripada pengiraan rasmi. - Foto AFP
A
A
A

GENEVA - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam menganggarkan lebih 10 peratus penduduk di dunia telah dijangkiti dengan koronavirus (Covid-19) lebih tinggi daripada yang direkodkan ketika ia memikirkan untuk memperlajukan pembaharuan dalaman agensi dunia itu.

Sehingga semalam, lebih 35 juta kes Covid-19 telah didaftarkan di seluruh dunia termasuk 1.04 juta orang yang meninggal dunia, menurut pengiraan AFP berdasarkan sumber-sumber rasmi.

Bagaimanapun, WHO kini menganggarkan kira-kira satu persepuluh daripada 7.8 bilion penduduk dunia telah dijangkiti sejak virus tersebut muncul pertama kali di China pada tahun lalu.

Angka itu 20 kali lebih tinggi daripada pengiraan rasmi.

"Anggaran terbaik semasa kita memberitahu bahawa kira-kira 10 peratus daripada penduduk dunia mungkin dijangkiti dengan virus ini," kata Pengarah Kecemasan WHO, Michael Ryan kepada satu mesyuarat lembaga eksekutif agensi tersebut.

Beliau menekankan bahawa jangkitan itu berbeza daripada kawasan bandar, luar bandar dan berubah-rubah mengikut perbezaan kumpulan.

"Namun, apa yang dimaksudkan ialah majoriti besar dunia masih kekal berisiko," katanya.

Sementara itu, Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus memberitahu mesyuarat semalam bahawa pandemik itu sepatutnya menjadi "peringatan untuk kita semua".

Artikel Berkaitan:

"Kita mesti melihat di depan cermin dan bertanya apa yang terbaik kita perlu lakukan," katanya.

Tedros mengetepikan kritikan tentang cara agensi dunia itu mengendalikan pandemik tersebut dan menegaskan daripada permulaan lagi ia telah bekerja setiap jam untuk menyokong negara-negara melakukan persediaan serta memberikan tindak balas terhadap virus baharu tersebut.

Beliau yang memakai pelitup muka berwarna hitam dengan corak berwarna-warni turut mempertahankan dengan keras proses pembaharuan agensi berkenaan yang dilakukan sejak tiga tahun lalu tetapi mengakui ia perlu dipertingkatkan.

"Kita bukan di jalan yang salah. Kami berada di jalan yang betul tetapi kita perlu pergi dengan lebih pantas," katanya.

Tedros menegaskan usaha terbesar WHO ialah memberikan maklumat tepat dan terkini ketika berdepan krisis global yang pesat berkembang.

"Sepuluh bulan lalu, virus ini tidak diketahui dunia," katanya.

"Kami kini menerbitkan lebih 400 dokumen panduan untuk individu, komuniti, sekolah, perniagaan, industri, pekerja kesihatan, kemudahan kesihatan dan kerajaan.

"Kita tidak mempunyai mandat untuk melakukan semua perkara," ujarnya yang menambah ia mempunyai kedudukan unik untuk menyelaraskan tindak balas kesihatan global. - AFP