Bangunan JHEAT ditutup, pegawai dikesan kontak rapat Dr Zulkifli

Bangunan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu dan Pejabat Agama Daerah Kuala Nerus yang berada dalam satu blok di Kompleks Seri Iman ditutup hari ini bagi proses sanitasi. Gambar kecil: Mat Azmi Arshad
Bangunan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu dan Pejabat Agama Daerah Kuala Nerus yang berada dalam satu blok di Kompleks Seri Iman ditutup hari ini bagi proses sanitasi. Gambar kecil: Mat Azmi Arshad
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Bangunan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu dan Pejabat Agama Daerah Kuala Nerus yang berada dalam satu blok di Kompleks Seri Iman ditutup hari ini bagi proses sanitasi.

Pesuruhjaya JHEAT, Mat Azmi Arshad berkata, penutupan sementara itu bagi membolehkan proses sanitasi dilakukan susulan terdapat pegawai yang mempunyai kontak dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

"Enam pegawai kita terlibat dengan mesyuarat bersama Menteri Agama di Putrajaya pada 1 Oktober lalu," katanya.

Beliau berkata, semua urusan kaunter dan pelanggan di tiga jabatan itu tidak akan beroperasi buat sementara waktu dan semua pegawai serta kakitangan diarahkan untuk bekerja dari rumah.

“Urusan kaunter dan pelanggan dijadualkan akan beroperasi semula seperti biasa esok iaitu pada 7 Oktober 2020 (Rabu). Pihak kami memohon maaf atas segala kesulitan serta berdoa agar wabak penyakit ini dapat dihindari,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Dalam perkembangan sama, Mat Azmi berkata, semua kelas muallim, takmir serta Kelas Sijil Pengajian Agama Islam Terengganu (SPAIT) seluruh Terengganu ditangguhkan memandangkan trend kes koronavirus (Covid-19) di negeri ini semakin meningkat.

“Kuliah muallim, takmir dan SPAIT di masjid dan surau ditangguhkan dahulu bermula hari ini sehingga ke satu waktu yang akan diberitahu kemudian,” katanya.

Semalam, Zulkifli mengesahkan beliau kini menerima rawatan selepas disahkan positif Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Pada 24 September lalu, Zulkifli dilaporkan berada di Sabah untuk menghadiri beberapa program dan pulang ke Kuala Lumpur.