Mangsa banjir di Sabah meningkat kepada 287 orang

No Image Caption
A
A
A

KOTA KINABALU - Jumlah mangsa banjir di tiga daerah di negeri ini meningkat kepada 287 orang daripada 86 keluarga pagi ini dan satu lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka menjadikan keseluruhan enam pusat pemindahan setakat hari ini.

Jabatan Kebajikan Masyarakat menerusi aplikasi InfoBencana memaklumkan satu lagi PPS dibuka di Kota Belud iaitu Sekolah Menengah Agama Tun Said yang menempatkan tujuh mangsa.

Jumlah mangsa di tiga lagi PPS di daerah itu tidak berubah sejak malam tadi iaitu Dewan Masyarakat Tun Said masih menempatkan 131 mangsa, Dewan Sekolah Kebangsaan Pekan Kota Belud (60 mangsa) dan Dewan Muhibbah Tombol (sembilan mangsa).

Di Tuaran, mangsa banjir yang ditempatkan di Dewan Seri Sulaman meningkat kepada 77 orang berbanding 10 orang malam tadi manakala di Dewan Masyarakat Menggatal di sini kekal dengan tiga mangsa.

Kesemua mangsa banjir itu melibatkan 32 kampung dan beberapa laluan juga tidak dapat dilalui oleh semua kenderaan antaranya Jalan Kampung Bobot, Jalan Siasai Tamu dan Jalan Kampung Linau.

Setakat jam 8.40 malam tadi, seramai 213 mangsa banjir daripada 64 keluarga dipindahkan ke lima PPS di sekitar negeri ini.

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan notis amaran cuaca buruk di beberapa daerah di Sabah sehingga hari ini manakala pagi ini cuaca mendung di Kota Kinabalu. - Bernama

Artikel Berkaitan: