Skuad Penyu perlu waspada ancaman Tok Gajah

Pemain Terengganu meraikan jaringan Shaakhmedov (kiri) ketika menentang Felda United di Stadium Tun Abdul Razak.
Pemain Terengganu meraikan jaringan Shaakhmedov (kiri) ketika menentang Felda United di Stadium Tun Abdul Razak.
A
A
A

PENGENDALI Terengganu FC 1 (TFC 1), Nafuzi Zain tetap merendah diri pada masa sama mengingatkan kesebelasan pemainnya memberikan fokus bagi memastikan kemenangan skuad Penyu terlebih dahulu biarpun melihat peluang mengakhiri kempen saingan CIMB Liga Super pada kedudukan kedua terbaik cerah.

Nafuzi berkata, pemain perlu memberikan keutamaan kepada kejayaan pasukan dan tidak terlalu memikirkan untuk mencabar kedudukan kedua CIMB Liga Super kali ini kerana ia hanya akan menambahkan tekanan buat pasukan.

Menurutnya, yang penting pada ketika ini adalah kemenangan atau tiga mata maksimum perlu diraih skuad Penyu itu pada aksi terakhir liga berdepan Pahang di laman sendiri Jumaat ini.

"Saya lihat peluang itu ada, tetapi perbezaan mata antara pasukan di sekeliling kita tidak jauh dan hampir sama.

"Oleh itu, saya ingatkan pemain untuk berikan fokus untuk memastikan kemenangan pasukan dahulu pada pada aksi terakhir Liga Super nanti dan kemudian barulah kita akan lihat apa yang bakal terjadi," katanya kepada Sinar Harian kelmarin.

Terdahulu, Terengganu mencatatkan kemenangan kemenangan selesa apabila menewaskan Felda United 3-0 di Stadium Tun Abdul Razak kelmarin menerusi jaringan pemain import, Dominique da Silva pada minit kelima, Sanjar Shaakhmedow (38) dan satu lagi gol dijaringkan kapten, Lee Tuck pada minit ke-65.

Kemenangan itu menyaksikan skuad Peteh Ganu Peteh itu mengumpul 16 mata hasil lima kemenangan, seri sekali dan tewas empat kali daripada 10 perlawanan.

Sementara itu, Nafuzi menjangkakan TFC 1 bakal berdepan tentangan sengit apabila melayan kunjungan Pahang bagi aksi terakhir liga.

Artikel Berkaitan:

Katanya, berdasarkan kepada prestasi semasa skuad Tok Gajah itu, kesebelasan pemain perlu memberikan fokus kepada perlawanan berkenaan jika tidak mahu berputih mata di gelanggang sendiri.

"Pahang mula mempamerkan prestasi yang baik sejak kebelakangan ini. Jadi, kita perlu berwaspada mengharungi perlawanan ini.

"Bagaimanapun, kesemua pemain juga diharap dapat memberikan aksi terbaik masing-masing pada perlawanan berkenaan untuk kita kita melakar kejayaan," katanya.