X

Kindly register in order to view this article
!

PKP fasa kedua perlu dielak

Sehingga kini, kerajaan masih belum mengumumkan pelaksanaan PKP, namun tidak mustahil ia dikuatkuasakan semula jika kes Covid-19 terus meningkat dengan ketara. Gambar hiasan. - FOTO SITI SHAHROSAMIRAH SHAHARMAN
A
A

MALAYSIA kini berada di permulaan gelombang ketiga Covid-19, susulan peningkatan mendadak kes jangkitan virus itu di negara ini.

Peningkatan mendadak kes Covid-19 dicatatkan di seluruh negara, terutama di Sabah dan Kedah menimbulkan tanda tanya kalangan masyarakat, adakah kerajaan akan melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua.

Kes baharu positif Covid-19 di negara ini kembali kepada tiga angka susulan peningkatan kes jangkitan kalangan banduan daripada Kluster Banteng dan Tembok.

Ia juga disumbangkan ahli politik yang pulang daripada berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN), kunjungan pelancong, urusan perniagaan dan pelbagai urusan lain dari Sabah.

Sehingga kini, kerajaan masih belum mengumumkan pelaksanaan PKP, namun tidak mustahil ia dikuatkuasakan semula jika kes Covid-19 terus meningkat dengan ketara

Keputusan pelaksanaan PKP bergantung kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berdasarkan situasi semasa negara dan nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerajaan tidak akan melaksanakan semula PKP kerana peningkatan mendadak kes positif Covid-19 hanya berlaku di kawasan tertentu sahaja.

PKP boleh mengakibatkan impak ekonomi yang besar kepada negara termasuk kehilangan sekurang-kurangnya RM2 bilion sehari.

Unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara mungkin tidak akan tercapai jika PKP dikuatkuasakan semula selain kadar pengangguran yang berada pada tahap 4.9 peratus pada Ogos lalu boleh meningkat secara mendadak.

Pelaksanaan semula PKP juga boleh menyebabkan masalah lain termasuk mengganggu usaha memulihkan ekonomi dan fokus kerajaan dalam perancangan Belanjawan 2021 yang tertumpu kepada usaha merancakkan semula ekonomi selain memulihkan keyakinan pelabur.

PKP turut memberi kesan ketara kepada sektor pendidikan kerana, kebanyakan pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi akan ketinggalan dalam pelajaran apabila terpaksa melakukan pembelajaran di rumah sepanjang tempoh PKP.

Impak lain jika PKP dilaksanakan semula termasuklah dari segi sosial seperti kita dilarang merentas negeri, anak-anak rantau tidak boleh pulang ke kampung bertemu orang tua, suami isteri berduka lara hidup berjauhan, pahala solat berjemaah di masjid dan surau juga tidak dapat diperoleh, malah upacara keagamaan kaum lain juga tersekat dek kawalan PKP.

Petugas barisan hadapan pula perlu bertungkus-lumus siang dan malam mengawal penularan wabak Covid-19 dalam negara.

Jangan leka

Sekarang bukan masa sesuai untuk menyalahkan atau menuding jari kepada sesiapa sahaja. Bagi mengelakkan kes daripada terus meningkat dengan ketara, apa yang penting buat masa ini adalah semua pihak mengambil serius terhadap SOP mengekang penularan wabak serta meneruskan kawalan kendiri.

Harus diingat, kita masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan belum boleh kembali kepada keadaan biasa.

Lantaran itu, sebagai warganegara yang bertanggungjawab, kita tidak sepatutnya leka supaya boleh kembali kepada kehidupan normal sebelum pandemik Covid-19 melanda.

Masyarakat perlu memainkan peranan sosial yang lebih utama dalam memerangi pandemik ini, malah rakyat digalak terus menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan melaporkan tindakan yang didapati melanggar SOP kepada pihak penguat kuasa untuk tindakan lanjut.

Menang atau kalah bergantung kepada kita. Hal ini kerana kita sudah menang beberapa ‘peperangan’ iaitu PKP, PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan.

Oleh itu jika kita bersatu hati tidak mustahil kita boleh menurunkan kes kepada dua angka yang rendah, malah satu angka.

Yang paling utama, jangan pula ada pihak menangguk di air keruh dengan menyebarkan pelbagai berita yang tidak dipastikan kesahihannya berkaitan Covid-19 sehingga menimbulkan kebimbangan kalangan masyarakat.

Rakyat perlu bijak menapis segala berita yang diterima, jangan mudah terpedaya dengan menerima bulat-bulat berita tersebut khususnya daripada media sosial.

Selanjutnya, usaha kerajaan menguatkuasakan arahan menjalani Perintah Pengawasan Dan Pemerhatian Di Rumah (HSO) selama 14 hari diharap dapat mengawal semula penularan kes yang sebahagian besarnya berpunca daripada kes individu yang pulang dari Sabah.

Justeru, mereka yang kini menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah, diminta mematuhi sepenuhnya syarat yang ditetapkan.

Adalah diharap dengan gandingan dan kerjasama padu semua pihak, kes jangkitan dapat diturunkan dengan seberapa segera yang mungkin, lantaran PKP dapat dielakkan demi kepentingan semua pihak!

* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!