Bila jambatan baharu nak bina?

Keadaan jambatan Kampung Sepah Beruang, Benut yang runtuh sejak dua tahun lalu.
Keadaan jambatan Kampung Sepah Beruang, Benut yang runtuh sejak dua tahun lalu.
A
A
A

PONTIAN - Melihat sekitar kawasan jambatan runtuh di Kampung Sepah Benut yang dipenuhi semak-samun, timbul persoalan bilakah jambatan baharu akan dibina.

Biarpun sudah dua tahun jambatan di situ runtuh, namun penduduk masih menunggu jambatan baharu dibina bagi kemudahan mereka berulang-alik ke Pekan Benut.

Jambatan Kampung Sepah Beruang yang runtuh akibat arus deras pada 22 Januari 2017 merupakan laluan penting bagi 1,600 penduduk dari empat kampung di sekitar Benut.

Kampung terbabit ialah Kampung Baru, Kampung Parit Lapis Sayang, Kampung Sayang dan Kampung Sepah Beruang.

Selepas jambatan itu runtuh, penduduk terpaksa menggunakan laluan alternatif yang lebih jauh untuk ke Pekan Benut.

Lebih membimbangkan lagi, penduduk terpaksa menyabung nyawa hampir setiap hari untuk menghantar anak ke sekolah setiap kali mereka menggunakan jalan alternatif melalui jalan benteng untuk ke simpang tiga di laluan utama Jalan Benut-Pontian.

Ketua Bersatu Bahagian Pontian, Zulkifly Tasrip berkata, pembinaan jambatan baharu seharusnya tidak menjadi isu memandangkan peruntukan telah diluluskan dan diumumkan di peringkat Parlimen sebelum ini.

Katanya, jambatan berkenaan merupakan keperluan penduduk kampung dan kawasan di sekitar Benut untuk berulang-alik menghantar anak sekolah, membeli barang keperluan harian dan sebagainya di Pekan Benut.

Artikel Berkaitan:

“Saya berharap jambatan ini dapat dibina pada tahun ini kerana ia adalah keperluan bagi penduduk kampung dan kawasan di sekitar Benut.

Penduduk mahu jambatan baharu dibina di Kampung Sepah Beruang, Benut.
Penduduk mahu jambatan baharu dibina di Kampung Sepah Beruang, Benut.

“Memandangkan peruntukkan telah diluluskan di peringkat Parlimen seharusnya menjadi ia tidak menjadi masalah bagi projek pembinaan jambatan berkenaan,” katanya.

Penduduk, Muizdin Bachok, 28, berkata, penduduk memerlukan jambatan tersebut untuk urusan harian termasuk menghantar anak ke sekolah setiap hari di Pekan Benut.

“Ada 9 sekolah termasuk sekolah menengah, sekolah kebangsaan, sekolah agama, sekolah jenis kebangsaan Cina dan asrama masyarakat Orang Asli.

“Selain itu penduduk juga perlu ke Pekan Benut untuk urusan harian di pejabat pos, kedai runcit, pasar, terminal bas dan teksi,” katanya.

Justeru, beliau berharap agar kepimpinan baharu PH dapat merealisasikan janji pembinaan jambatan baharu yang dibuat kerajaan sebelum ini untuk kemudahan penduduk di Benut.

“Jambatan baharu ini umpama nyawa penduduk. Penduduk berharap agar kerajaan baharu dapat membina segera jambatan di sini,” katanya.

Penduduk, Samsiah Harun, 54, berkata, laluan alternatif melalui jalan benteng tidak selamat kerana keadaan simpang tiga untuk ke Pekan Benut amat merbahaya.

“Sudah banyak kali kemalangan motosikal berlaku di simpang tiga. Jalan keluar ke simpang tiga itu sangat bahaya kerana bilangan kenderaan dari laluan Batu Pahat ke Pontian sangat banyak.

“Ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah bukan seorang dua. Mahu tidak mahu kami terpaksa lalu simpang tiga yang bahaya itu setiap hari,” katanya.