X

Kindly register in order to view this article
!

Nasib Kuwait di tangan Emir baharu

Kuwait kini berdepan masalah harga minyak yang jatuh sejak dari pertengahan tahun 2014 sehingga mengakibatkan bajet negaranya mengalami defisit. - Foto AFP
A
A

DI bahu Emir baharu Kuwait, Sheikh Nawaf al-Ahmad al-Sabah terpikul tanggungjawab yang sangat besar.

Selain membina dan membangunkan ekonomi Kuwait dalam tempoh pandemik koronavirus (Covid-19), Sheikh Nawaf perlu menyeimbangkan hubungan negaranya dengan kuasa-kuasa besar seperti Arab Saudi dan Iran.

Beliau juga perlu mengemudikan ekonomi negara yang kini berdepan dengan krisis dan melantik seorang Putera Mahkota yang baharu.

Satu topik besar yang perlu dihadapinya adalah sama ada Kuwait mahu meneruskan hubungan dengan Israel dan bagaimanakah untuk bertindak balas berikutan harga minyak rendah di tengah-tengah kelembapan ekonomi akibat Covid-19.

Semua itu menjadi urusan Sheikh Nawaf yang berusia 83 tahun selepas beliau mengangkat sumpah pada Rabu lalu selepas kemangkatan kekanda tirinya, Sheikh Sabah al-Ahmad Al-Sabah.

Kekanda tiri beliau itu mangkat ketika berumur 91 tahun di sebuah hospital di Amerika Syarikat (AS) pada Selasa lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Emir Kuwait mangkat pada umur 91 tahun

Sheikh Nawaf angkat sumpah sebagai Emir Kuwait baharu

Sebuah pesawat Airbus A340 yang membawa jenazah Almarhum baginda dari AS mendarat di bandar raya Kuwait manakala jalan-jalan raya dikosongkan daripada dipenuhi kereta.

Ia bagi membolehkan kenderaan konvoi membawa jenazah Sheikh Sabah bergerak ke Masjid Bilal bin Rabah untuk solat jenazah.

Kekanda tirinya itu ialah salah seorang tokoh diplomasi di rantau Teluk selama beberapa dekad mendomaninasi hidupnya kepada Kuwait iaitu sebuah wilayah tidak stabil dengan politiknya yang tersendiri.

Sheikh Sabah al-Ahmad Al-Sabah mangkat di sebuah hospital di Amerika Syarikat pada Rabu lalu ketika berusia 91 tahun. - Foto AFP
Sheikh Sabah al-Ahmad Al-Sabah mangkat di sebuah hospital di Amerika Syarikat pada Rabu lalu ketika berusia 91 tahun. - Foto AFP

Seperti negara-negara Teluk lain, Kuwait menerima kesan teruk akibat kejatuhan harga minyak sejak pertengahan tahun 2014.

Pada permulaan tahun ini, ia menghadapi bajet defisit kali keenam berturut-turut dan mengalami kesan pandemik Covid-19 selain melaksanakan langkah-langkah 'lockdown' yang ketat.

Kuwait yang mengeluarkan kira-kira 2.7 juta tong minyak sehari dan mempunyai simpanan fiskal besar yang dianggarkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) adalah sebanyak AS$644 bilion (RM2.6 trilion).

Bagaimanapun, ekonomi negara tersebut berkembang hanya 0.7 peratus pada tahun 2019 dan dijangka meningkat kepada 1.1 peratus pada tahun ini, menurut IMF.

Ia adalah sebuah negara yang kecil iaitu seluas 17,818 kilometer persegi dan menjadi tempat tinggal sebahagian besar warga asing, kebanyakannya pekerja dari Asia Barat dan Asia.

Dalam ucapan sulungnya sebagai pemerintah negara itu, beliau memberikan amaran serius tentang cabaran-cabaran di Kuwait dan menggesa perpaduan kebangsaan untuk menghadapinya.

"Imej umum ialah beliau seorang yang tenang dan apabila sesuatu berlaku, Sheikh Nawaf boleh membuat keputusan tegas," kata Mohammed al-Faily iaitu seorang pakar dalam undang-undang Perlembagaan dan profesor di Universiti Kuwait.

Bagaimanapun, pakar-pakar mengingatkan bahawa Sheikh Nawaf tidak sekaliber seperti Almarhum kekanda tirinya yang mengetuai negara tersebut melalui krisis-krisis serius dan menjadikan Kuwait sebagai pengantara yang dihormati.

"Sheikh Nawaf sudah terlalu tua dan kesihatannya tidak berada dalam keadaan sempurna," kata Cinzia Bianco iaitu seorang felo penyelidikan di Majlis Hubungan Luar Majlis Eropah.

Katanya, beliau lebih dilihat sebagai 'penjaga sementara' negara tersebut berbanding seorang pemimpin baharu yang melakukan titik perubahan.

Salah satu tugas Sheikh Nawaf ialah memilih pewaris iaitu satu proses beliau diberikan masa setahun dan pemilihan tersebut kemudian diiktiraf Parlimen.

Perlembagaan Kuwait menyatakan bahawa pemerintah negara tersebut sepatutnya daripada keturunan pengasas Kuwait, Mubarak Al-Sabah.

Kuwait tidak seperti negara-negara Teluk lain kerana mempunyai ahli politik yang dipilih dan menikmati kuasa perundangan. - Foto AFP
Kuwait tidak seperti negara-negara Teluk lain kerana mempunyai ahli politik yang dipilih dan menikmati kuasa perundangan. - Foto AFP

Takhta negara tersebut diselang-selikan antara dua cabang keluarga beliau iaitu keturunan dua anakanda lelakinya, Salam dan Jaber.

Bagaimanapun, apabila Sheikh Sabah yang daripada cabang keluarga Jaber menaiki takhta pada tahun 2006, beliau memilih adinda tirinya sebagai pewaris pemerintah mengetepikan cabang daripada Salem.

'Pertandingan' untuk peranan Putera Mahkota Kuwait itu kini adalah termasuk antara anakanda-anakanda Almarhum Sheikh Sabah dan bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga ahli politik, Nasser Sabah al-Ahmed al-Sabah.

Calon-calon lain ialah bekas Perdana Menteri, Nasser al-Mohammed, dan Timbalan Ketua Pasukan Pengawal Kebangsaan Kuwait, Sheikh Meshal Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, keluarga pemerintah telah 'menunjukkan' perbezaan pandangan antara mereka dengan mengetengahkan tuduhan mengemparkan tentang rasuah dan konspirasi politik yang dikemukakan oleh sebahagian anggota keluarga beraja itu terhadap anggota keluarga lain dalam kalangan mereka.

"Pertandingan seperti ini yang didedahkan di belakang tadbir kemungkinan memberi kesan terhadap hubungan Kuwait dengan Iran termasuk kemampuannya untuk menjadi pengantara dalam krisis Qatar," kata Bianco.

Beliau berkata, kesan itu juga akan berlaku jika calon lebih muda mengambil alih jawatan tersebut.

Rantau Teluk telah terbahagi sejak tahun 2007 apabila Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain mengenakan satu sekatan terhadap Qatar.

Bagaimanapun, Kuwait di bawah pemerintahan Almarhum Sheikh Sabah salah seorang tokoh utama di belakang Majlis Kerjasama Teluk tidak mengambil bahagian dalam sekatan tersebut.

Seorang penganalisis politik Kuwait, Ibrahim Dichti, berkata, Emir baharu itu didakwa akan berhadapan dengan peningkatan tekanan AS supaya menormalkan hubungan dengan Israel sejajar dengan keputusan yang dibuat oleh UAE dan Bahrain.

"Adalah jelas bahawa arahan Presiden (AS), Donald Trump adalah untuk mendesak Kuwait menandatangani satu perjanjian damai dan kerajaan seterusnya mungkin menuju ke arah menormalkan hubungan tetapi akan berdepan dengan tentangan (penduduk) yang popular," ujarnya.

Hubungan normal dengan negara Yahudi itu tidak popular dalam kalangan orang awam Kuwait yang sebahagian besarnya menyokong pendirian dunia Arab menuntut satu resolusi mengenai Palestin sebelum mewujudkan hubungan diplomatik dengan Israel.

Kuwait tidak seperti negara-negara Teluk lain kerana mempunyai ahli politik yang dipilih dan menikmati kuasa perundangan dan boleh mengundi untuk menyingkirkan seorang menteri, malah pPerbalahan politik juga kerap berlaku secara terbuka.

Walaupun AS melobi negara-negara jiran Kuwait menekan Iran, Faily berkata, negara tersebut yang mengekalkan hubungan baik dengan Arab Saudi dan Iran dipercayai tidak akan mengubah pendiriannya ke arah Republik Islam itu.

"Adalah tidak rasional untuk terjebak ke dalam konflik hanya kerana terdapat perubahan dalam kalangan pemimpin," katanya.

Dilahirkan pada tahun 1937, Sheikh Nawaf ialah anak kelima pemerintah Kuwait, Almarhum Sheikh Ahmad al-Jaber Al-Sabah yang memerintah pada tahun 1921 hingga 1950.

Sheikh Nawaf yang menerima pendidikan sekolah menengah di Kuwait tidak memperoleh pendidikan tinggi dan memulakan kerjaya sebagai Gabenor Wilayah Hawalli sehingga beliau dilantik Menteri Dalam Negeri pada tahun 1978.

Sebagai Emir baharu, Sheikh Nawaf al-Ahmad al-Sabah dibebani dengan tanggungjawab besar untuk memulihkan ekonomi Kuwait. - Foto AFP
Sebagai Emir baharu, Sheikh Nawaf al-Ahmad al-Sabah dibebani dengan tanggungjawab besar untuk memulihkan ekonomi Kuwait. - Foto AFP

Beliau memegang jawatan itu sehingga tahun 1988 apabila dilantik menjadi Menteri Pertahanan dan melalui krisis Iraq menyerang Kuwait yang menduduki negara tersebut selama enam bulan sebelum berakhir dengan penglibatan tentera antarabangsa diketuai AS dalam Perang Teluk pada tahun 1991.

Selepas itu, beliau menjadi Menteri Hal Ehwal Awam dan Buruh, dilantik memegang jawatan Timbalan Komander Pasukan Pengawal Kebangsaan pada tahun 1994 dan dipilih menduduki jawatan Menteri Dalam Negeri pada tahun 2003.

Baginda juga sebelum ini berjaya memerangi para militan Islami yang bertempur dengan polis pada Januari 2005.

Sheikh Nawaf juga popular dalam keluarga Al Sabah yang dilaporkan telah mendapat konsensus untuk menjadi pemimpin Kuwait. - AFP


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!