Zulkifli hadiri beberapa program sejak 24 September

 Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Zulkifli Mohamad Al-Bakri
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri meminta orang ramai yang menyertai majlis yang dihadirinya dari 24 September hingga 4 Oktober untuk menjalani pemeriksaan saringan Covid-19 di mana-mana klinik kesihatan dengan segera.

Dalam tempoh tersebut juga, Zulkifli dikenalpasti telah menghadiri beberapa program termasuk lawatan melibatkan negeri-negeri di Pantai Timur serta universiti awam sebelum disahkan positif Covid-19 hari ini.

Menurut Facebook beliau, bermula pada 24 September lalu, beliau berada di Sabah dengan mengadakan beberapa program bersama masyarakat di Tuaran, Sabah termasuk bertemu dengan Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar sebelum kembali ke Semenanjung Malaysia.

Keesokan harinya beliau menghadiri program di Madrasah Diniah Bakriah Pondok Terusan Limbat Pasir Tumboh, Kelantan sempena Hari terbuka Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Kelantan sebelum singgah menziarahi orang tuanya di Kuala Terengganu, Terengganu pada hari yang sama.

Beliau juga menyertai solat Jumaat di Masjid Ulul Albab, Jerteh, Terengganu pada hari yang sama, sebelum kembali ke Kuala Lumpur dan memaklumkan telah singgah minum di Kedai Pak Tam Putrajaya (Charter Field Town) KLIA serta bertemu beberapa anak muda OKU Pekak berbangsa Melayu.

Pada 26 September pula, Zulkifli menyertai kuliah Subuh di Masjid Jamek Sultan Hisamuddin, Sepang yang dibuat secara langsung sebelum hadir ke PPR Pantai Ria, Kuala Lumpur berama Pusat Pungutan Zakat Maijlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk menyampaikan barangan keperluan kepada penerima di situ.

Zulkifli seterusnya dilihat menyampaikan kuliah Dhuha secara langsung di Masjid Datuk Klana Petra, Nilai, Negeri Sembilan pada 27 September sebelum menyampaikan kuliah yang sama kira-kira dua jam kemudian di Surau Annur Bangi, Selangor.

Pada 28 September, Zulkifli menerima kunjungan pakar motivasi terkenal, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah dan pihak pentadbiran Pusat Pengajian Islam At-Taiyibin, selain beliau turut menghadiri satu taklimat berhubung penggubalan Rang Undang-Undang Wakaf.

Artikel Berkaitan:

Aktiviti Zulkifli diteruskan pada hari seterusnya dengan menerima kunjungan Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, disusuli dengan menghadiri taklimat Sambutan Maulidur Rasul SAW 144H peringkat Kebangsaan sebelum beliau kemudiannya mengiringi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke perasmian Persidangan Kehakiman Dan Perundangan Syariah Nusantara 2020 di Hotel Movenpick dan Pusat Konvensyen KLIA.

Pada 30 September, Zulkifli sekali lagi hadir pada program yang sama untuk majlis penutupan Persidangan Kehakiman Dan Perundangan Syariah Nusantara 2020.

Menerusi Facebook Zulkifli, aktiviti beliau terus bersambung pada 1 Oktober apabila terdapat sebuah video 'boomerang' menunjukkan Zulkifli menerima kunjungan daripada beberapa anak muda dari Johor yang dilihat tidak memakai pelitup muka manakala pada keesokan harinya beliau menyertai Solat Jumaat dan memberi khutbah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sebelum menghadiri mesyuarat bersama Pengurusan Tertinggi universiti itu berkenaan tawaran penganjuran bersama projek berkaitan Pendidikan Sivik kepada sekolah-sekolah agama.

Zulkifli kemudiannya mengadakan Kuliah Dhuha di Masjid Jamek Sultan Hisamuddin pada 3 Oktober selain menghadiri Majlis Pengijazahan Perubatan & Pengubatan Islam Darussyifa’ Sesi 2020 di Darul Quran, Putrajaya.

Beliau juga menghadiri Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkenaan Covid-19 di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya pada hari yang sama yang disertai Perdana menteri dan menteri Kabinet.

Program terakhir Zulkifli pada 4 Oktober iaitu menyampaikan kuliah Dhuha di Masjid Dato' Klana Petra Nilai sebelum ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk menyampaikan sumbangan kepada pelajar yang terjejas susulan penangguhan pendaftaran universiti secara fizikal baru-baru ini.

Pada sebelah malamnya, beliau hadir ke Majlis Tilawah dan Hafazan al-Qur’an KAFA Peringkat Kebangsaan 1442 / 2020 Geno Hotel, Shah Alam di mana beliau bertemu anak-anak cilik yang menyertai program tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Zulkifli sah positif Covid-19