213 mangsa banjir di Sabah dipindahkan

No Image Caption
A
A
A

KOTA KINABALU - Seramai 213 mangsa banjir daripada 64 keluarga dipindahkan ke lima pusat pemindahan banjir (PPB) sekitar negeri ini setakat 8.40 malam tadi.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi aplikasi InfoBencana memberitahu tiga pusat pemindahan dibuka di Kota Belud iaitu Dewan Masyarakat Tun Said menempatkan 131 mangsa, Dewan Sekolah Kebangsaan Pekan Kota Belud (60 mangsa) dan Dewan Muhibbah Tombol (9 mangsa).

Dua pusat pemindahan lain ialah Dewan Seri Sulaman di Tuaran (10 mangsa) dan Dewan Masyarakat Menggatal di sini (3 mangsa).

"Jumlah mangsa terlibat itu juga termasuk 11 bayi dan dua orang kurang upaya (OKU)," katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan notis amaran cuaca buruk di beberapa daerah di Sabah sehingga esok.

Hujan lebat yang melanda negeri ini sejak lewat malam tadi dijangka berterusan di Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan serta bahagian pantai barat Sabah, esok. - Bernama

Artikel Berkaitan: