Pegawai SPRM siasat Rosmah selepas terima arahan pegawai atasan

Rosmah (kiri) keluar dari mahkamah selepas hadir bagi sambung perbicaraan kes rasuah yang dihadapinya berhubung projek solar hibrid di sekolah luar bandar Sarawak di Mahkamah Tinggi hari ini.
Rosmah (kiri) keluar dari mahkamah selepas hadir bagi sambung perbicaraan kes rasuah yang dihadapinya berhubung projek solar hibrid di sekolah luar bandar Sarawak di Mahkamah Tinggi hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau membuat aduan bertulis terhadap Datin Seri Rosmah Mansor pada 9 November 2018 untuk memulakan siasatan terhadap isteri bekas perdana menteri itu di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.

Noornabilah Mohd Aziman, 30, berkata, aduan bertulis itu disediakan atas arahan pegawai atasannya berdasarkan kepada satu laporan yang telah disiasat oleh SPRM.

Saksi ke-23 yang juga saksi pendakwaan terakhir itu berkata, hasil siasatan terdahulu mendapati Rosmah disyaki telah meminta dan menerima rasuah daripada Jepak Holdings Sdn Bhd dan Saidi Abang Samsudin merupakan pengarah urusan syarikat tersebut.

Beliau yang membacakan penyataan saksinya berkata, dakwaan meminta dan menerima rasuah itu adalah sebagai balasan membantu syarikat itu mendapatkan Projek Sistem Solar Bersepadu Photovoltaic (PV) dan Penyelenggaraan dan Operasi Genset / Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Saya telah memulakan siasatan dengan mendapatkan dokumen-dokumen daripada KPM, Kementerian Kewangan, Maybank Cawangan Jalan Tuanku dan CIMB Cawangan Bintulu. Sepanjang siasatan kes ini, saya juga ada menerima beberapa dokumen lain seperti gambar-gambar tempat kejadian, pelan lakar tempat kejadian, laporan forensik berserta CD (cakera padat) dan dua jilid dokumen Kontrak Projek Solar Hibrid.

"Saya juga telah mendapatkan CD rakaman perbualan (didakwa) antara Datin Seri Rosmah dan (suaminya) Datuk Seri Najib Tun Razak, dokumen perakuan jawatan Datuk Rizal Mansor (bekas pegawai khas Rosmah), dokumen maklumat syarikat Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan dokumen-dokumen lain berkaitan kes ini. Sebagai pegawai penyiasat, saya juga ada menerima beberapa dokumen lain daripada pegawai SPRM yang membantu saya menjalankan siasatan," katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya TPR) Idham Abd Ghani.

Turut memberi keterangan hari ini ialah Ketua Penolong Setiausaha di Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Nuryusran Sairan, 46, yang mengesahkan mengenai kedudukan atau jawatan dipegang Rizal ketika bertugas di JPM sebelum ini.

Sementara itu, saksi pendakwaan kelima, bekas Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid yang sepatutnya dipanggil semula untuk pemeriksaan balas oleh pihak pembelaan, tidak dapat hadir ke mahkamah kerana menjalani kuarantin mengikut perintah pengawasan dan pemerhatian bagi Covid-19 di kediamannya selepas pulang dari Sabah.

Artikel Berkaitan:

TPR Kanan Datuk Seri Gopal Ram yang mengesahkan perkara itu turut mengemukakan surat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia yang menyatakan Mahdzir dikenal pasti sebagai kontak rapat kepada individu yang telah disahkan positif Covid-19, justeru beliau perlu menjalani kuarantin di kediamannya mengikut perintah pengawasan dan pemerhatian bagi kontak Covid-19.

"Beliau (Mahdzir) telah diberikan notis arahan supaya tidak keluar rumah. Kami diberitahu bahawa beliau akan menjalani ujian ketiga Covid-19 Rabu ini dan hanya akan mengetahui keputusannya pada Khamis. Beliau menjalani kuarantin sehingga 12 Oktober.

“Oleh itu, kami berharap mahkamah dapat mendengar kes ini minggu depan, 13 Oktober pada 2 petang bagi membolehkan Mahdzir menyelesaikan pemeriksaan balas dan menutup kes kami," kata Sri Ram.

Peguam utama Datuk Jagjit Singh kemudian memberitahu mahkamah bahawa pihak pembelaan akan mengesahkan esok sama ada mereka boleh menghadiri mahkamah pada tarikh berkenaan yang dipersetujui oleh Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Pihak pembelaan sebelum ini memohon untuk memanggil semula Mahdzir bagi menyoal beberapa isu kepada saksi itu.

Rosmah, 69, berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua tuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Saidi.

Suapan itu didakwa diterima menerusi Rizal, sebagai upah membantu Jepak mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Suria Photovoltaic (PV) Hibrid serta penyelenggaraan dan operasi genset/diesel, untuk 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1. 25 bilion daripada KPM secara rundingan terus.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra di sini; Kediaman Rosmah di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 hingga September 2017.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM) dan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika disabitkan.

Perbicaraan bersambung esok. - Bernama