Mural feri tenggelam hiasi pinggiran Sungai Kerian

Mohamad Azizul (kanan) dan rakannya, Mohd Hisbullah menunjukkan lukisan mural tragedi feri karam di Sungai Kerian pada 13 September 1972 di tembok setinggi lima kaki di Taman Pinggiran Sungai Kerian. - Foto Bernama
Mohamad Azizul (kanan) dan rakannya, Mohd Hisbullah menunjukkan lukisan mural tragedi feri karam di Sungai Kerian pada 13 September 1972 di tembok setinggi lima kaki di Taman Pinggiran Sungai Kerian. - Foto Bernama
A
A
A

PARIT BUNTAR - Melukis mural tragedi feri karam yang meragut 27 nyawa 48 tahun yang lalu bukanlah sesuatu yang mudah kerana insiden itu tidak disaksikan sendiri dan hanya bergantung kepada gambar-gambar lama sebagai panduan.

Bagaimanapun, itu bukan alasan bagi Mohamad Azizul Ismail, 32, untuk menghasilkan mural bersama rakannya, Mohd Hisbullah Afifi Firdaus, 25, mengenai tragedi itu di tujuh tembok setinggi kira-kira 1.5 meter di Dataran Penggiran Sungai Kerian di sini.

Bagi menterjemahkan kisah tragis berkenaan dengan lebih mendalam, kedua-dua pelukis itu memilih untuk menggunakan hanya lima warna cat kapur iaitu putih, hitam, kuning, biru dan merah dalam menyiapkan karya mereka atas permintaan Majlis Daerah Kerian.

“Kami tidak menggunakan warna yang terang kerana ia satu tragedi, maka adaptasi penggunaan medium memerlukan penelitian bagi menggambarkan suasana sebenar latar tempat persekitaran pada waktu itu.

“Sungai Kerian mempunyai sejarah dan lukisan mural ini akan menjadi tatapan kepada pengunjung, untuk mengetahui peristiwa itu yang pernah mencetuskan kegemparan di seluruh negara,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Mural bas sekolah yang terbabit dalam tragedi feri karam di Sungai Kerian pada 13 September 1972 mengakibatkan 27 orang kebanyakannya pelajar sekolah maut. - Foto Bernama
Mural bas sekolah yang terbabit dalam tragedi feri karam di Sungai Kerian pada 13 September 1972 mengakibatkan 27 orang kebanyakannya pelajar sekolah maut. - Foto Bernama

Dalam kejadian 13 September 1972, seramai 27 pelajar sekolah mati lemas, apabila feri yang membawa sebuah bas sekolah menyeberangi Sungai Kerian dari Bandar Baru ke pekan Parit Buntar tenggelam, selepas tali kabel antara kedua-dua tebing sungai putus akibat hujan lebat dan arus sungai deras.

Pada waktu itu, feri adalah pengangkutan utama untuk menyeberang Sungai Kerian dan selepas insiden itu, sebuah jambatan dibina bagi menghubungkan Parit Buntar dengan Bandar Baru.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, untuk menghasilkan mural tragedi feri karam itu, dia dan Mohd Hisbullah Afifi membuat beberapa kajian berdasarkan gambar-gambar lama sebelum mula melukis pada 26 September lalu dan siap dalam tempoh seminggu.

Mohamad Azizul yang berasal dari Kampung Padang Lalang, Gunung Semanggol dekat sini berkata, ketika mereka menyiapkan lukisan itu, ramai penduduk kampung datang melihat dan mengakui mural itu memberi gambaran sebenar kejadian.

“Saya akan melukis dua lagi mural di Titi Serong dan Inap Desa Dahli di sini selepas ini,” katanya yang juga graduan diploma Institut Kraf Malaysia di Rawang Selanggor pada 2007. - Bernama