Bantuan Ebit Lew wajar dipermudahkan: Exco

Razman Zakaria
Razman Zakaria
A
A
A

IPOH - Bantuan yang diberikan penceramah terkenal, Ebit Lew yang menyediakan lebih 20 bas percuma bagi membantu pelajar pulang selepas Kementerian Pengajian Tinggi menangguhkan pendaftaran kemasukan pelajar baharu di institut pengajian tinggi awam dan swasta di seluruh negara wajar diteruskan.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak, Razman Zakaria berkata, inisiatif diambil individu mahupun syarikat perlu dipermudahkan kerana memberi manfaat kepada pelajar yang memerlukan.

"Pada pandangan peribadi saya, sepatutnya bantuan itu perlu diteruskan dan dipermudahkan urusan kerana ia jelas memberi manfaat kepada pelajar.

"Kerajaan negeri akan mengambil masa untuk salurkan bantuan sedangkan pelajar memerlukan pertolongan segera. Tinggal di rumah sewa perlukan kos dan mereka nak pulang pun perlukan kos," katanya dalam sidang media di pejabatnya di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Bagaimanapun, Razman berkata, beliau tidak boleh menyebelahi mana-mana pihak berhubung tindakan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang dikritik selepas meminta Ebit Lew membuat permohonan maaf secara terbuka atas bantuannya itu.

Razman (tengah) melihat data permohonan bantuan pelajar berasal dari Perak yang dikendalikan Pasak di pejabatnya di Ipoh hari ini.
Razman (tengah) melihat data permohonan bantuan pelajar berasal dari Perak yang dikendalikan Pasak di pejabatnya di Ipoh hari ini.

"Kerajaan negeri tidak boleh menyebelahi mana-mana pihak. Mungkin ada yang terkilan dengan beliau tetapi itu persepsi masing-masing.

"Dari sudut positif, pada yang hendak menolong kita membuka tangan mengalu-alukan. Saya akan turun ke sana jumpa pengurusan bagi mendapatkan gambaran yang lebih tepat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, menurutnya, kerajaan negeri akan menghulurkan bantuan sekali bayar melibatkan peruntukan dianggarkan RM500,000 kepada pelajar yang berasal dari Perak.

"Kita cadangkan supaya bantuan RM150 bagi setiap pelajar yang memohon. Jumlah mahasiswa Perak adalah 70,000 namun, dalam tempoh 24 jam ini kita mendapat 1,500 respon pelajar menerusi Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak).

"Berdasarkan respon itu, pelajar memerlukan bantuan antaranya pemulangan bayaran deposit sewa rumah, tiket pengangkutan untuk pulang dan tambah nilai bagi data mudah alih. Bagaimanapun, jumlah pelajar memohon akan bertambah dari semasa ke semasa," katanya.

Katanya, bantuan itu akan disalurkan selepas mendapat kelulusan daripada mesyuarat Exco kerajaan negeri, Rabu ini.