Muhyiddin sekali lagi jalani kuarantin

Kenyataan Muhyiddin yang menjalani kuarantin selepas Zulkifli disahkan positif Covid-19. Muhyiddin Yassin. - Foto Bernama
Kenyataan Muhyiddin yang menjalani kuarantin selepas Zulkifli disahkan positif Covid-19. Muhyiddin Yassin. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Sekali lagi Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menjalani kuarantin selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang menghadiri Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabtu lalu disahkan positif Covid-19.

Menerusi kenyataannya, Muhyiddin berkata, hal itu bagaimanapun tidak akan mengganggu urusan kerajaan dan beliau akan terus bekerja dari rumah menggunakan sidang video bagi mesyuarat yang perlu dipengerusikan.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menjalankan ujian saringan pengesanan Covid-19 ke atas semua ahli dan urusetia mesyuarat tersebut.

"Berdasarkan penilaian risiko yang dilakukan oleh KKM, mereka yang dikenal pasti kontak rapat semasa mesyuarat ini telah diberikan surat

perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) selama 14 hari bermula 3 Oktober serta dipakaikan gelang pengawasan," katanya.

Beliau berkata, ahli mesyuarat yang bukan merupakan kontak rapat pula dinasihatkan menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari bermula tarikh sama.

"Mereka turut dinasihatkan untuk memantau status kesihatan kendiri di rumah setiap hari menggunakan home assessment tool (HAT) dalam aplikasi MySejahtera.

"Sehubungan itu, saya akan menjalani kuarantin kendiri di kediaman saya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebagai langkah berjaga-jaga, Muhyiddin berkata, beliau melakukan ujian saringan pengesanan Covid-19 setiap dua minggu sejak bulan April lalu.

"Kesemua ujian pengesanan itu disahkan negatif.

"Selain itu, saya telah melakukan tiga ujian pengesanan Covid-19 dalam tempoh tiga minggu lalu iaitu pada 22, 26 dan 29 September dan didapati negatif," katanya.

Tambahnya, Zulkifli dirawat di sebuah hospital di Seremban, Negeri Sembilan.

Pada 22 Mei lalu, Muhyiddin menjalani kuarantin pertama selepas seorang pegawai kerajaan yang menghadiri mesyuarat pasca kabinet di pejabatnya yang diadakan dua hari sebelum itu disahkan positif Covid-19.