Kuasa di tangan Muhyiddin

Osman (tengah) pada Majlis Penyampaian Sumbangan Asnaf, Awal Persekolahan dan Food Bank Yayasan Harapan Pontian di Benut semalam.
Osman (tengah) pada Majlis Penyampaian Sumbangan Asnaf, Awal Persekolahan dan Food Bank Yayasan Harapan Pontian di Benut semalam.
A
A
A

PONTIAN - Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin disifatkan mempunyai kuasa untuk melantik Datuk Mohd Rashid Hasnon sebagai Ketua Penaja Bersatu Batu Pahat, atas budi bicaranya.

Ketua Bahagian Bersatu Ayer Hitam, Datuk Osman Sapian ketika mengulas isu tular akibat ketidakpuasan hati beberapa pihak selepas jawatan berkenaan tidak diberi kepada Mohd Rashid berkata, walaupun Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak sampai tempoh matang keahlian, namun beliau tidak melihat ia sebagai isu sebaliknya Muhyiddin perlu menyelesaikan isu tersebut melalui kuasanya selaku Presiden.

Beliau berkata, ia berdasarkan beberapa pemimpin yang menyertai Bersatu antaranya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad yang belum cukup tiga tahun menjadi ahli Bersatu telah dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi parti.

"Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah pun tidak sampai tiga tahun, begitu juga Abdul Latiff.

"Muhyiddin perlu selesaikan isu pelantikan Ketua Penaja Bersatu Batu Pahat kerana kuasa ada padanya. Saya juga yakin Muhyiddin kenal (Mohd) Rashid yang pernah jadi Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang," katanya kepada ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Asnaf, Awal Persekolahan dan Food Bank Yayasan Harapan Pontian, Benut di sini semalam.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli Penggerak Komuniti Negara (PKN) Johor selepas Mohd Rashid yang juga Pengerusi PKN Johor tidak dilantik menjadi Ketua Penaja Bersatu Bahagian Batu Pahat, sebaliknya watikah pelantikan jawatan itu diberikan kepada Syed Muhammad Syed Alwi.

Sementara itu, Osman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas berkata, Bersatu memerlukan pemimpin berpengalaman dan berpengaruh untuk menguatkan lagi parti terutama untuk menarik ahli-ahli baharu menyertai parti itu.

"Kita hendak Bersatu kuat dengan adanya pemimpin berpengalaman dan berpengaruh tetapi kalau lantik orang baharu yang tiada pengalaman dan pengaruh bagaimana hendak tambah kekuatan parti.

Artikel Berkaitan:

"Saya sokong (Mohd) Rashid dilantik jadi Ketua Penaja Bersatu Bahagian Batu Pahat," katanya yang juga bekas Menteri Besar Johor.