Kes Covid-19 di Kelantan setakat ini masih terkawal

Dr Zaini ketika memaklumkan perkembangan semasa Covid-19 di Kelantan semasa ditemui di Kompleks Kota Darulnaim hari ini.
Dr Zaini ketika memaklumkan perkembangan semasa Covid-19 di Kelantan semasa ditemui di Kompleks Kota Darulnaim hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Kesihatan Kelantan memaklumkan jangkitan koronavirus (Covid-19) di negeri ini masih terkawal berikutan pengesanan awal di di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa terutama membabitkan penumpang dari Sabah dan negeri yang berisiko.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, Kelantan mencatatkan sembilan kes sehingga semalam selepas 57 hari bebas daripada wabak tersebut.

Menurutnya, Jabatan Kesihatan turut melakukan ujian terhadap lebih 1,000 individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah termasuk kontak rapat kesemua sembilan kes terkini di Kelantan.

“Bagi perkembangan terkini membabitkan sembilan kes aktif, sebanyak 93 kontak rapat telah menjalani ujian saringan dan empat daripadanya positif manakala 89 lagi negatif untuk sampel pertama dan kedua.

“Begitu juga dengan kontak rapat kes dari Sabah yang melibatkan seorang bayi berusia setahun lima bulan yang dilaporkan stabil dan masih dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II,” katanya kepada pemberita hari ini selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan.

Mesyuarat yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob di Kompleks Kota Darulnaim hari itu turut dihadiri Ketua Polis Negeri, Deputi Komisioner Shafien Mamat.

Dr Zaini Hussin
Dr Zaini Hussin

Dalam perkembangan sama, Dr Zaini turut mengingatkan orang ramai supaya tidak leka kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku dan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Artikel Berkaitan:

“Saya tidak boleh menjangkakan sama ada kes di Kelantan akan bertambah atau tidak tetapi perkara yang lebih penting ialah rakyat turut menjadi frontliner untuk bersama-sama mengekang penularan Covid-19. Itulah yang kita harapkan. Jaga kebersihan, jaga jarak dan jauhi tempat sesak,” katanya.

Dr Zaini turut menekankan bahawa penguatkuasaan terhadap pematuhan SOP sudah diperketatkan dan pihaknya bersama agensi penguatkuasaan lain tidak akan berkompromi dengan pihak yang tidak mematuhi arahan ditetapkan kerajaan.

“Berdasarkan kes yang dilaporkan terkini, sudah tiba masanya untuk membuat penguatkuasaan dari segi kompaun selepas kita memberikan nasihat melalui media dan pegawai di lapangan,” katanya.