Cadang IPTS di negeri sebagai pusat pengajian sementara

Tina Tajuddin
Tina Tajuddin
A
A
A

IPOH - Persatuan Kebangsaan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) Bumiputera Malaysia mencadangkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) supaya menggunapakai kemudahan IPTS yang ada di negeri sebagai pusat pengajian sementara.

Exconya, Tina Tajuddin berkata, inisiatif berkenaan dilihat sesuai untuk memastikan pengajian di semua Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) terus berjalan selain menjadi altenatif kepada pembelajaran secara dalam talian.

Beliau berkata, kelas secara bersemuka masih diperlukan memandangkan tidak semua kawasan mempunyai akses internet sempurna selain terdapat pelajar yang belum bersedia untuk mengikut kelas secara dalam talian terutama bagi pelajar semester satu.

"Saya yakin penangguhan kelas tidak akan dilakukan lagi kerana ia akan menjejaskan jadual semester pelajar.

"Jadi kami berpandangan perlu ada kerjasama di antara IPTA dan IPTS untuk memastikan pelajar ini terus mendapat akses pengajian dan sebagainya.

"Insya-ALLAH, kita sedia untuk menjadi pusat pengajian sementara itu dengan bantuan dan sokongan daripada KPT.

"Cadangan itu bertujuan untuk memudahkan pelajar mengikuti kuliah tanpa perlu bersusah payah pulang ke kampus masing-masing dalam keadaan sekarang ini," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar mengenai isu penangguhan kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi (IPT) di Taj International College di sini hari ini.

Beliau berkata, pelajar IPTA yang tinggal di negeri-negeri boleh pergi ke IPTS yang paling dekat untuk menjalani kuliah tanpa membebankan mereka membawa barang-barang kembali ke kampus.

Artikel Berkaitan:

Malah, jelas Tina, pensyarah IPTA terlibat juga boleh dihantar ke IPTS berkenaan untuk meneruskan kuliah tanpa perlu merisikokan pelajar.

Katanya, dengan cara itu, pihak universiti tidak perlu bimbang tentang pergerakan pelajar ketika tempoh penularan wabah Koronavirus (Covid-19) yang kian meningkat ketika ini.

Tina berkata, bagaimanapun perkara itu masih memerlukan persetujuan daripada pihak KPT dan keputusan segera perlu dibuat untuk memastikan tidak berlaku lagi perkara yang tidak diingini sehingga menimbulkan isu di seluruh negara.

"Perkara itu sebenarnya kita pernah utarakan kepada KPT, namun belum ada sebarang tindakan dibuat. Kita akan mengadakan mesyuarat bersama ahli jawatankuasa persatuan mengenai perkara ini pada Khamis nanti dan meminta pihak KPT mempertimbangkannya.

"Usaha berkenaan perlu dilakukan demi masa depan pelajar dan kita harap cadang itu akan diterima sekali gus memudahkan pelajar mengikuti pengajian di universiti masing-masing," katanya.

Dalam pada itu, Tina menganggap isu yang berlaku berkaitan penangguhan kemasukan pelajar adalah isu komunikasi dalam kalangan IPT dan bukan disebabkan KPT kerana kesemua instutusi tersebut diberikan autonomi untuk membuat keputusan.

Beliau juga berharap perkara seumpama itu tidak lagi berlaku dan semua pihak belajar daripada kesilapan dan memperbaiki kelemahan yang berlaku.

ARTIKEL BERKAITAN: Penangguhan sesi pendaftaran pelajar IPT tidak dapat dielak

Keputusan saat akhir susahkan pelajar IPT