X

Kindly register in order to view this article
!

Ops Gempur: JAS keluarkan kompaun bernilai RM230,000

A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengeluarkan sebanyak 115 kompaun berjumlah kira-kira RM230,000 terhadap kilang-kilang di sepanjang jajaran Sungai Sembrong, Kluang dalam Ops Gempur pada Khamis dan Jumaat lalu.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyanathan berkata, operasi berkenaan melibatkan 45 anggota penguat kuasa JAS Johor selepas pencemaran sungai berlaku hingga menjejaskan pendapatan orang asli yang berada di kawasan berdekatan.

Menurutnya, dalam operasi berkenaan sebanyak 55 premis yang tertakluk kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 telah diperiksa.

"Sebanyak 115 kompaun dikeluarkan dengan setiap satu RM2,000, 55 notis arahan di lapangan iaitu premis yang tidak mematuhi Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 dan 26 notis arahan dikeluarkan kerana tidak menguruskan buangan berjadual dengan baik.

"Selain itu tiga penahanan kelengkapan operasi dilakukan serta satu kertas siasatan dibuka kerana tiada sijil Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) daripada JAS," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada 2 Jun dan 12 Julai lalu, ikan-ikan ditemui mati dalam sungai tersebut yang menjejaskan mata pencarian penduduk orang Aasli di kawasan berkenaan.

Susulan itu JAS Johor melakukan operasi dan menggantung lesen premis yang disyaki menyebabkan pencemaran di bawah Peraturan 4, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Pelesenan) 1977 dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Beliau berkata, operasi berkenaan adalah susulan daripada pencemaran beberapa bulan lalu itu dan JAS Johor memandang serius kes pencemaran Sungai Sembrong yang menjejaskan mata pencarian penduduk orang asli berkenaan.

Katanya, operasi berkenaan akan terus dijalankan manakala penguatkuasaan dan pemantauan secara berkala ke atas punca-punca industri yang melepaskan air buangan ke Sungai Sembrong dan sungai lain di Kluang akan dilakukan.

Orang ramai juga digesa untuk membantu JAS dengan melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar menerusi talian bebas tol 1800-88-2727 atau email ke [email protected] dan melalui portal eaduan JAS menerusi https://eaduan.doe.gov.my.

ARTIKEL BERKAITAN: Johor antara negeri paling banyak sungai tercemar


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!