X

Kindly register in order to view this article
!

Keputusan permohonan keterangan 11 saksi secara tertutup, esok

Hasanah (kanan) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, bagi kes pecah amanah wang bernilai RM50.4 juta milik kerajaan.
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini akan memberi keputusan sama ada menolak atau membenarkan, permohonan pendakwaan untuk memanggil 11 saksi bagi kes pecah amanah membabitkan bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid dibuat secara tertutup esok.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Iskandar Ahmad ketika berhujah di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh berkata, demi keselamatan negara, pihaknya memohon perbicaraan melibatkan 11 orang saksi itu dibuat secara tertutup (in-camera).

Menurutnya, keterangan saksi-saksi itu dikhuatiri akan mendedahkan perisikan hubungan dengan negara terapat, yang mana ia mungkin memberi kesan hubungan diplomatik jika dibicarakan secara terbuka.

“Sekiranya identiti didedahkan, ia bukan sahaja boleh mengancam keselamatan mereka malah menjejaskan keupayaan untuk menjalankan tugas,” katanya pengurusan kes di sini hari ini.

Bagaimanapun, ia mendapat bantahan daripada peguam, Hamdan Hamzah yang mewakili Hasanah yang menyatakan tiada bukti disertakan oleh pihak pendakwaan bagi menyokong isu keselamatan negara.

Katanya, tiada unsur bahawa keterangan saksi akan dimanipulasi dan jelas keterangan afidavit mengenai hubungan luar adalah bersifat spekulasi.

Pada 25 Oktober 2018, Hasanah, 61, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan pecah amanah wang bernilai RM50.4 juta, April tahun yang sama.

Hasanah didakwa sebagai penjawat awam iaitu Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri atas kapasiti yang diamanahkan wang berjumlah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan telah melakukan pecah amanah terhadap wang itu.

Beliau didakwa melakukan kesalahan tersebut di Pejabat Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri Malaysia, Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 30 April hingga 9 Mei 2018.

Berikutan itu, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun dan sebatan dan juga boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!