Air sisa tanpa rawatan punca sungai tercemar

Zaini Ujang
Zaini Ujang
A
A
A

SHAH ALAM - Kegiatan membasuh kilang, loji, kandang ternakan dan premis perniagaan boleh mencemarkan sumber air di sungai, tasik dan empangan sekiranya tiada kemudahan rawatan air sisa di premis terbabit.

Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa), Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang berkata, apa sahaja kotoran, najis dan bahan kimia dari premis itu terus disalur ke longkang sebelum masuk ke anak sungai dan sungai utama tanpa sebarang rawatan intensif.

Menurutnya, kebanyakan premis di kawasan perumahan yang menghasilkan air basuhan dari bilik air, dapur serta tandas yang dikenali sebagai kumbahan telah disambung dengan sistem pembetungan berpusat yang dikendalikan oleh syarikat Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK).

"Pembetungan berpusat dilengkapi dengan Loji Rawatan Kumbahan (LRK) bertujuan untuk mengurangkan tahap pencemaran sebelum kumbahan terawat dilepaskan ke sungai atau laut.

"Jika tahap pencemaran dilepaskan dari kilang, loji (termasuk LRK), kandang ternakan dan premis perniagaan tinggi kandungan bahan cemarnya sama ada bahan organik atau bahan bukan organik, maka muka sauk untuk pengambilan air mentah terpaksa ditutup," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, penutupan ini kerana Loji Rawatan Air (LRA) hanya dibenarkan merawat air mentah yang rendah tahap bahan cemarnya bagi mengurangkan risiko kesihatan awam.

"Teknologi rawatan LRA boleh ditambah baik bagi memastikan sungai atau air bawah tanah yang tercemar dijadikan sumber air mentah, tetapi kos pembinaan dan operasinya akan meningkat serta dan risiko kesihatan awam akan juga meningkat" katanya.

Oleh demikian, Zaini berkata, untuk mengatasi masalah pencemaran itu, semua premis perumahan, kilang, loji, kandang ternakan dan perniagaan perlu mempunyai kemudahan rawatan air sisa atau kumbahan.

Artikel Berkaitan:

“Sebagai pengguna, kita pastikan kumbahan dari rumah kita disalurkan pada sistem pembetungan berpusat yang dikendalikan oleh IWK.

“Jika menggunakan tangki septik, pastikan tangki itu dikosongkan sekurang-kurangnya sekali setiap dua tahun.

"Sebagai warga yang prihatin, kita laporkan kepada pihak berkuasa jika ada bukti berlaku pencemaran sumber air sama ada di dalam longkang, terusan, anak sungai atau sungai," katanya.

Semalam, LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi terpaksa dihenti tugas sepenuhnya berikutan insiden pencemaran air mentah di Sungai Semenyih yang menjadi sumber air mentah ke loji-loji ini.

Ketua Komunikasi Korporat, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, henti tugas loji-loji itu akan menyebabkan 273 kawasan terjejas, iaitu 309,605 akaun pengguna, mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Ia melibatkan empat wilayah iaitu Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.

ARTIKEL BERKAITAN: Empat daerah berdepan gangguan bekalan air tidak berjadual

LUAS kesan bau bangkai di Sungai Pajam

Pencemaran disyaki dari reban angsa