Wanita putih mata wang RM200,000 dikebas bekas kekasih

Mangsa (kanan) bersama Andy (kiri) menunjukkan gambar lelaki terbabit yang menghilangkan diri selepas mendapat wang RM200,000.
Mangsa (kanan) bersama Andy (kiri) menunjukkan gambar lelaki terbabit yang menghilangkan diri selepas mendapat wang RM200,000.
A
A
A

PUCHONG - Seorang wanita berputih mata selepas wang simpanan sebanyak RM200,000 dikebas bekas kekasihnya yang dikenali sejak setahun lalu.

Hoi Yoke Man, 60, mengakui mula mengenali lelaki berusia 55 tahun itu menerusi laman sosial Facebook dan hubungan mereka menjadi semakin serius selepas itu.

Bagaimanapun, jelas Yoke Man, beberapa bulan lalu, lelaki tersebut yang dikenali sebagai Liew Kwai Nam meminta pertolongannya dan ingin meminjam sejumlah wang bagi tujuan pelaburan dalam perniagaan.

"Saya percaya padanya dan disebabkan itulah, saya tak teragak-agak untuk bagi wang RM200,000 tersebut.

"Kami sebelum ini tinggal serumah dan selepas mendapat wang itu, dia tiba-tiba menghilangkan diri," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Parti Gerakan Selangor di sini hari ini.

Yoke Man berkata, selepas tidak mendapat perkhabaran daripada lelaki tersebut, dia beberapa kali berusaha untuk menghubungi dan menjejaki lelaki berkenaan namun gagal.

Berikutan itu, dia telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang pada bulan lalu bagi mengesan lelaki berkenaan yang dipercayai cuba menghilangkan diri.

"Sebelum ini, saya beberapa kali cuba hubunginya, namun gagal kerana nombor saya telah disekat olehnya dan disebabkan itulah laporan polis terpaksa dibuat kerana saya syak telah ditipu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ketua Biro Aduan Parti Gerakan Selangor, Andy Lieng Hwa Ching memaklumkan, pihaknya akan membantu memanjangkan permasalahan mangsa ke Bukit Aman selepas ini bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil.

Andy berkata, pihaknya mengesyaki terdapat unsur penipuan dilakukan oleh lelaki terbabit bagi menjerat mangsa.

"Tindakan selanjutnya akan diambil selepas ini kerana kita syak lelaki itu cuba mempermainkan mangsa bagi mengaut wang dengan cara mudah," katanya.