Polis Kelantan tambah sekatan sempadan, pusat bandar

Shafien (kiri) ditemui pemberita selepas menghadiri Mesyuarat MKN di Kompleks Kota Darulnaim hari ini.
Shafien (kiri) ditemui pemberita selepas menghadiri Mesyuarat MKN di Kompleks Kota Darulnaim hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan menambah tiga lagi sekatan jalan raya menjadikan enam keseluruhannya bagi mengurangkan pergerakan orang ramai berikutan pertambahan kes koronavirus (Covid-19) di negeri ini.

Ketua Polis negeri, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, penambahan sekatan itu ditumpukan di kawasan sempadan dan pusat bandar bagi mengekang penularan Covid-19, selain pencegahan jenayah.

Menurutnya, sebagaimana dinasihatkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), masyarakat disarankan berwaspada dan tidak terlalu bebas bergerak meskipun Covid-19 di Kelantan terkawal.

“Berdasarkan perkembangan semasa di Kelantan, kita tidak boleh berkompromi lagi.

"Menerusi mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini pun memutuskan untuk menguatkuasakan sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Begitu juga dengan mereka yang memakai gelang pink (merah jambu), patuhi arahan kerana pihak polis berada di mana-mana sahaja memerhatikan mereka dan bertindak di bawah peruntukan sedia ada jika didapati melakukan kesalahan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mesyuarat MKN yang dipengerusikan oleh Ahmad berlangsung di Kompleks Kota Darulnaim membincangkan mengenai penularan pandemik Covid-19 di Kelantan.
Mesyuarat MKN yang dipengerusikan oleh Ahmad berlangsung di Kompleks Kota Darulnaim membincangkan mengenai penularan pandemik Covid-19 di Kelantan.

Terdahulu beliau menghadiri Mesyuarat MKN Kelantan dipengerusikan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob yang turut dihadiri Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Husin di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, sehingga semalam terdapat sembilan kes aktif Covid-19 di Kelantan.

Mengulas lanjut, Shafien berkata, selain penguatkuasaan sedia ada polis juga memfokuskan kepada kepatuhan masyarakat terhadap SOP ditetapkan kerajaan di tempat awam untuk mengekang penularan wabak Covid-19 di negeri ini.

Katanya, sepanjang dua hari lalu, terdapat 113 kompaun telah dikeluarkan polis berkaitan dengan pelbagai kesalahan pematuhan SOP termasuk tidak memakai pelitup muka dan kegagalan peniaga menyediakan cecair pembasmi kuman serta alat penyukat suhu badan.

“Setakat ini, kerajaan negeri masih mengekalkan tempoh waktu perniagaan sebagaimana sebelumnya tetapi saya ingin menasihatkan orang ramai dan pengusaha untuk mematuhi arahan tersebut.

“Jangan keluar jika tiada perkara mustahak dan juga tidak melepak di tempat awam sehingga melebihi waktu yang telah ditetapkan,” katanya.