Warga emas ingkar arahan kuarantin berlegar di kedai

Setiap individu yang memakai gelang pink wajib menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari bermula tarikh yang ditetapkan KKM - Gambar hiasan Gambar kanan: Nik Ezanee
Setiap individu yang memakai gelang pink wajib menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari bermula tarikh yang ditetapkan KKM - Gambar hiasan Gambar kanan: Nik Ezanee
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang lelaki warga emas yang memakai gelang warna pink (merah jambu) dan dikesan berlegar-legar di kawasan lot kedai di Damansara Damai di sini, ditahan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, lelaki berusia 63 tahun itu ditahan sepasukan anggota cawangan kereta peronda IPD Petaling Jaya kira-kira jam 11.43 pagi.

Menurutnya, semasa pemeriksaan, lelaki terbabit cuba melindungi gelang pink yang dipakainya dengan menutup menggunakan lilitan kain putih.

"Siasatan awal mendapati lelaki berasal Sabah itu datang ke Semenanjung Malaysia untuk urusan perniagaan dan telah diarah untuk menjalani kuarantin di rumah bermula 28 September hingga 11 Oktober ini.

"Lelaki itu kini ditahan dan akan direman esok di Mahkamah Petaling Jaya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan jika sabit salah boleh dihukum penjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Tegasnya, pihaknya memberi amaran kepada mana-mana individu yang dikenakan perintah kuarantin agar patuh kepada arahan yang diarahkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Kita juga akan memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Tindakan tegas akan diambil sekiranya individu terbabit gagal mematuhinya," katanya.

Artikel Berkaitan: