Inspektor, dua koperal mengaku tidak bersalah terima rasuah

Ketiga-tiga tertuduh yang menutup kepala masing-masing diiringi oleh pegawai SPRM ketika keluar dari Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini.
Ketiga-tiga tertuduh yang menutup kepala masing-masing diiringi oleh pegawai SPRM ketika keluar dari Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang inspektor dan dua koperal polis tidak mengaku bersalah menerima rasuah berjumlah RM11,800 daripada seorang individu pada Julai dan September lalu di Mahkamah Sesyen Alor Setar di sini hari ini.

Pengakuan tersebut dibuat Inspektor Mohamad Saidy Sakah, 33, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar bersama dua lagi anggota berpangkat koperal iaitu Mohd Asyraf Mustafa, 33, dan Muhammad Noor Firdaus Zainal, 33, di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa menerima wang berjumlah RM7,800 di hadapan sebuah kedai makanan segera di Titi Gajah, Alor Setar pada 16 Julai, jam 8.30 malam bagi tujuan mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi mereka.

Mereka turut didakwa menerima wang berjumlah RM4,000 dalam sebuah kereta Honda Civic di hadapan kedai makan berdekatan dengan Medan Selera Pumpong, Alor Setar pada 7 September, jam 3.30 petang.

Bagi kedua-kedua kesalahan itu, mereka boleh dihukum mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sew Ping mencadangkan setiap tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM20,000.

Bagaimanapun, peguam bela yang mewakili ketiga-tiga tertuduh, Muhammad Farhan Ahmad Fadzil memohon mahkamah mengurangkan ikat jamin kerana anak guamnya itu mempunyai komitmen tinggi membantu keluarga masing-masing.

Selepas mempertimbangkan semua faktor, selain melihat perkara tersebut sebagai serius, Murtazadi menetapkan ikat jamin RM15,000 setiap tertuduh bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Artikel Berkaitan:

Kesemua tertuduh juga diminta menyerahkan dokumen perjalanan, selain perlu melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan pada setiap bulan sehingga pembicaraan selesai.

Murtazadi menetapkan tarikh sebutan semula kes tersebut pada 2 November ini.

Pada 8 September lalu, Sinar Harian melaporkan seorang pegawai dan dua anggota polis direman tujuh hari kerana dipercayai meminta dan menerima suapan daripada pengadu.

ARTIKEL BERKAITAN: Pegawai, anggota polis direman disyaki rasuah