Belasah kakak kerana telefon bimbit

Suspek bertindak memukul kepala dan menyepak perut mangsa dengan kasut keselamatan selepas tidak berpuas hati wanita itu meminta semula telefon bimbit yang dipinjamkan sebelum ini.- Gambar hiasan (Gambar kecil: Hanyan Ramlan)
Suspek bertindak memukul kepala dan menyepak perut mangsa dengan kasut keselamatan selepas tidak berpuas hati wanita itu meminta semula telefon bimbit yang dipinjamkan sebelum ini.- Gambar hiasan (Gambar kecil: Hanyan Ramlan)
A
A
A

KEMAMAN - Seorang remaja lelaki tergamak memukul kakaknya dengan topi keledar sehingga cedera selepas tidak berpuas hati wanita itu meminta semula telefon bimbit yang dipinjamkan sebelum ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi di Bukit Kuang di sini, kelmarin, suspek yang enggan memulangkan semula telefon bimbit berkenaan turut bertindak memukul kepala dan menyepak perut mangsa yang berusia 18 tahun dengan kasut keselamatan.

Menurut sumber, sebelum kejadian, dua beradik terbabit berada di rumah mereka dan mangsa yang bekerja sebagai tukang cuci itu ada meminta agar adik lelakinya memulangkan semula telefon bimbit yang dipinjam sebelum ini.

Sumber berkata, permintaan wanita itu mengundang rasa tidak puas hati suspek sebelum mengamuk dan marah kepada mangsa kerana ingin mengambil telefon bimbit itu sedangkan dia masih ingin menggunakannya.

"Dalam keadaan marah-marah, suspek terus mengambil topi keledar di atas meja di ruang tamu lalu memukul tangan kanan mangsa dengan kuat sehingga bengkak.

"Masih tidak berpuas hati, suspek mengambil kasut keselamatan dan memukul kepala mangsa, selain menyepak perut kakaknya itu bertubi-tubi sehingga wanita itu jatuh," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Kata sumber, akibat perbuatan suspek, mangsa mengalami kecederaan bengkak anggota badan dan sakit di seluruh badannya.

"Tidak berpuas hati diperlakukan sedemikian, selain bimbang keselamatan diri pada masa akan datang, mangsa mengambil keputusan membuat laporan polis," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian.

Jelasnya, susulan laporan diterima, pihaknya menangkap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan.